Ahad, 29 September 2019 | 8:44pm

Bekalan air: 81 peratus akaun pelanggan Air Selangor pulih

KUALA LUMPUR: Bekalan air bagi 81 peratus ataupun 372,031 akaun pelanggan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di empat buah wilayah dilaporkan telah pulih setakat jam 6 petang ini.

Menurut kenyataan Air Selangor hari ini, pecahan peratusan pemulihan adalah berdasarkan di Wilayah Petaling (72 peratus), Hulu Langat (96 peratus), Kuala Langat (61 peratus) dan Sepang (85 peratus).

Semalam, Air Selangor memaklumkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya selepas berlaku insiden pencemaran bau yang didakwa berpunca daripada Loji Rawatan Kumbahan di Bandar Bukit Mahkota.

Sebanyak 204 kawasan membabitkan 372,031 akaun pelanggan berdaftar di empat wilayah itu terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran pencemaran bau itu.

Kenyataan itu turut menyebut bantuan lori tangki air terus digerakkan dan 10 Pusat Khidmat Setempat (PKS) akan beroperasi 24 jam sehari sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

Orang ramai boleh merujuk aplikasi telefon bimbit ‘Air Selangor’ atau laman sesawang www.airselangor.com untuk maklumat lanjut. – BERNAMA

Berita Harian X