Ahad, 29 September 2019 | 4:45pm
Sahat menunjukkan anggur yang ditanam di kawasan rumahnya di Taman Paya Rumput Indah. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Sahat menunjukkan anggur yang ditanam di kawasan rumahnya di Taman Paya Rumput Indah. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Anggur lebat di rumah teres pesara

MELAKA: Keinginan pesara tentera memetik sendiri anggur segar setiap hari menjadi kenyataan apabila pokoknya itu berbuah lebat walaupun ditanam di kawasan rumah teresnya di sini sejak lima tahun lalu.

Sahat Mohammad, 53, berkata kejayaannya mengusahakan tanaman itu di rumahnya di Taman Paya Rumput Indah sekaligus mengenepikan tanggapan umum bahawa pokok anggur tidak mampu hidup di Malaysia kerana faktor iklim yang panas.

“Malah agak mengejutkan saya juga apabila anggur hijau yang ditanam sejak 2014 ini mengeluarkan buah sepanjang tahun walaupun kebiasaan hanya hidup subur di kawasan tanah tinggi atau pergunungan.

“Pada awalnya, saya membeli anak pokok anggur ini sekadar untuk cuba-cuba tapi tak sangka pula ia berjaya mengeluarkan hasil sepanjang tahun,” katanya ketika ditemui NSTP di rumahnya.

Walaupun berbuat lebat, Sahat berkata, dia tidak pernah menjual hasil buah itu sebaliknya hanya diberikan secara percuma kepada siapa saja yang berkeinginan merasainya.

“Eloklah saya bersedekah saja supaya buah bertambah banyak tambahan pula tidaklah begitu susah untuk menjaga pokok anggur ini.

“Setakat ini dah masuk tahun kelima kami sekeluarga menikmati hasilnya yang dikongsi bersama jiran dan saudara-mara,” katanya.

Beliau berkata, bagi menggalakkan lagi pertumbuhan pokoknya itu, dia menyediakan para besi selain membalut buah anggur dengan plastik bagi mengelakkannya rosak,” katanya.

Berita Harian X