Sabtu, 28 September 2019 | 5:39pm
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin memotong kek pada Majlis Perasmian Makan Malam pada Sambutan Hari Bandaraya Miri ke-14. - Foto Kandau Sidi
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin memotong kek pada Majlis Perasmian Makan Malam pada Sambutan Hari Bandaraya Miri ke-14. - Foto Kandau Sidi

Sarawak naik taraf trafik di Miri

MIRI: Sarawak akan menyediakan sistem trafik pintar sebagai usaha mempertingkat infrastruktur di Miri sebagai destinasi peranginan utama di negeri ini.

Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata usaha itu membabitkan perancangan di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Miri.

Beliau berkata, Majlis Bandaraya Miri perlu bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan Sarawak yang baharu ditubuhkan untuk menjayakan matlamat berkenaan.

“Antara bidang yang harus diberi tumpuan oleh kementerian ialah pengurusan trafik di kawasan bandar seperti pengenalan sistem pengangkutan pintar,” katanya di Majlis Makan Malam sempena Sambutan Hari Bandar Raya Miri ke-14 di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin.

Abang Johari berkata, selain penyediaan sistem trafik yang lancar, tumpuan juga harus diberikan kepada usaha menaik taraf kemudahan awam seperti taman awam dan pantai.

Beliau berkata, Majlis Bandaraya Miri juga mesti mengutamakan aspek keselamatan, keindahan dan kebersihan untuk meningkatkan imejnya.

Beliau berkata, dasar kerajaan negeri ialah memastikan pembangunan Miri seiring dengan strategi pembangunan terkini.

“Kerajaan negeri sudah memperuntukkan RM70 juta untuk pembinaan Miri City Hall dan RM22 juta untuk pengambilan tanah projek itu.

“Saya gembira projek dewan bandar raya ini sedang dalam pembinaan dan dijadual siap pada penghujung tahun depan,” katanya.

Berita Harian X