Jumaat, 20 September 2019 | 3:52pm
KETUA Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Ai Aizan Abdul Rahim (tengah) bergambar bersama peserta Media Prima Berhad dengan kerjasama Institut Jantung Negara pada program Media Prima Medical Outreach di Institut Jantung Negara (IJN). NSTP/Aswadi Alias.
KETUA Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Ai Aizan Abdul Rahim (tengah) bergambar bersama peserta Media Prima Berhad dengan kerjasama Institut Jantung Negara pada program Media Prima Medical Outreach di Institut Jantung Negara (IJN). NSTP/Aswadi Alias.

IJN - Media Prima ke Kuala Kangsar, Baling esok

KUALA LUMPUR: Briged Sukarelawan Media Prima-New Straits Times Press (NSTP) (Briged Sukarelawan) bersama Institut Jantung Negara (IJN) akan berada di Kuala Kangsar, Perak, dan Baling, Kedah bagi menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma, khususnya berkaitan jantung buat penduduk luar bandar selama dua hari bermula esok.

Program berkaitan Kesedaran Kesihatan itu yang disertai oleh kira-kira 65 sukarelawan daripada IJN, Briged Sukarelawan dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (ADABI) diadakan sempena Hari Jantung Sedunia sepanjang bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, berkata, menerusi program ini, doktor dan jururawat IJN akan menjadi platform bagi memberi pendedahan buat masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan, khususnya runding cara berhubung penyakit berkaitan jantung.

“Melalui cara turun padang ini juga, kita anggap ia sebagai satu perjuangan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan, khususnya rawatan jantung yang terkini kepada masyarakat kampung kerana kita tahu kemudahan di sana kurang berbanding di bandar.

“Ini kerana kematian akibat penyakit jantung masih menjadi antara salah satu punca utama kematian di Malaysia, maka ini adalah usaha kami untuk memberi kesedaran kepada masyarakat di kampung supaya mereka terdedah kepada pencegahan awal penyakit jantung, ” katanya kepada pemberita, di sini.

Terdahulu, Dr Aizai Azan melepaskan konvoi peserta Program berkaitan Kesedaran Kesihatan itu membabitkan enam kenderaan termasuk tiga van NSTP dari perkarangan IJN, di sini.

Lokasi pertama konvoi itu ialah di Dataran Amanjaya, Sauk, Kuala Kangsar pada esok sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Dewan Tun Abdul Razak (Lama), Baling, Kedah pada Ahad.

Pada masa sama, Dr Aizai Azan, berkata selain pemeriksaan kesihatan, mereka turut mengadakan acara lain seperti aktiviti interaktif kepada kanak-kanak, pertandingan memasak dan gotong-royong.

Katanya, program itu yang turut mendapat kerjasama Pejabat Mukim Chegar Galah, Kuala Kangsar, Perak dan Pejabat Daerah Baling, Kedah dijangka turut boleh merapatkan lagi hubungan antara IJN dan komuniti luar bandar.

Sementara itu, wakil Briged Sukarelawan Media, Shukor Othman, pula berkata seramai 22 ahli Briged Sukarelawan menyertai misi kali ini yang memfokuskan untuk membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Kami akan melakukan penyelidikan dahulu bagi menentukan tempat yang akan dipilih bagi melakukan aktiviti ini dan mengutamakan kampung yang susah dan sebagainya, ” katanya.

Berita Harian X