Rabu, 18 September 2019 | 5:30pm
KEADAAN paras air di Empangan Durian Tunggal. - Foto Khairunisah Lokman
KEADAAN paras air di Empangan Durian Tunggal. - Foto Khairunisah Lokman

Melaka miliki takungan air 26 juta liter

MELAKA: Kapasiti semasa takungan air di tiga empangan di negeri ini adalah 26,160 juta liter, penurunan ketara bekalan air berikutan jumlah takungan air di empangan dan taburan hujan yang rendah.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata kapasiti semasa takungan air di Empangan Jus ialah 19,315 juta liter, Empangan Durian Tunggal (6,620 juta liter) dan Empangan Asahan (225 juta liter).

Beliau berkata, taburan hujan yang rendah menyebabkan berlaku penurunan paras air di semua empangan berbanding kapasiti penuh 45,000 juta liter di Empangan Jus, 32,600 juta liter di Empangan Durian Tunggal dan 700 juta liter di Empangan Asahan.

“Penggunaan semasa air di Melaka adalah 639 juta liter sehari, namun berikutan jumlah takungan air di empangan dan taburan hujan yang rendah, hanya 550 juta liter air terawat dapat dibekalkan oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sehari.

“Jumlah ini menunjukkan penurunan bekalan air terawat sebanyak 13.9 peratus daripada jumlah penggunaan air keseluruhan dan menjadi punca kepada gangguan bekalan air di beberapa kawasan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini 22 kawasan dilaporkan terjejas bekalan air iaitu 17 kawasan di daerah Melaka Tengah, dua kawasan di daerah Alor Gajah, manakala tiga kawasan di daerah Jasin, selain sudah menempatkan 26 lori untuk menyalurkan segera bekalan air di kawasan terjejas.

Beliau berkata, SAMB berusaha untuk terus menstabilkan semula kolam yang terjejas dan akan memastikan bekalan air sampai ke setiap premis pengguna.

“Langkah jangka pendek turut diambil termasuk pengepaman air dari Empangan Jus ke Empangan Durian Tunggal, selain mengepam air dari kolam alternatif ke Sungai Melaka termasuk Bunded Storage II ke Bunded Storage I, Tasik Ayer Keroh, Kolam Kesang 2, Kolam Tebatan Banjir Durian Tunggal dan Kolam Tebatan Banjir Krubong.

“Turut dilakukan pengepaman 47 juta gelen sehari bersamaan 220 juta liter sehari dari Sungai Grisek, Muar, Johor ke Empangan Durian Tunggal serta mendapatkan bekalan air terawat daripada Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS),” katanya.

Berita Harian X