Isnin, 19 Ogos 2019 | 12:40pm
AHLI Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (tengah) dan EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong (dua dari kanan) meluangkan masa melawat ke wad hemodialisis Hospital Melaka. NSTP/Khairunisah Lokman
AHLI Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (tengah) dan EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong (dua dari kanan) meluangkan masa melawat ke wad hemodialisis Hospital Melaka. NSTP/Khairunisah Lokman

Kes denggi meningkat 263 peratus

MELAKA: Kes demam denggi di Melaka meningkat sebanyak 263 peratus menjadi 1,438 kes dalam tempoh 1 Januari sehingga Sabtu lalu berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Low Chee Leong, berkata daripada jumlah itu, daerah Melaka Tengah merekodkan jumlah terbesar iaitu 1,035 kes dengan peningkatan 290 peratus.

“Daerah Alor Gajah pula mencatatkan 203 kes, meningkat 238 peratus manakala Jasin 200 kes dengan peningkatan 263 peratus.

“Sebanyak sembilan kes baharu didaftarkan pada 17 Ogos lalu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Hospital Melaka bersama Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Hospital Melaka, Dr Hatijah Mohd Tan.

Mengulas lanjut Low yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana berkata sembilan kes baharu direkodkan adalah di kawasan Taman Melaka Perdana, Batu 22 1/2 Ramuan China Besar, Jalan Sidang Hassan dan Flat Malinja.

Kawasan lain adalah Jalan Yong Pak Khian, Taman Krubong Jaya Fasa 2, Taman Kota Laksamana Seksyen 3 dan Taman Taman Kota Laksamana Seksyen 2.

“Selain itu, terdapat lima lokaliti wabak aktif dikesan di negeri ini dalam tempoh sama membabitkan kawasan Taman Bertam Jaya, Taman Krubong Jaya Fasa 2, Lorong Utama Taman Ayer Keroh Heights, Pangsapuri Kota Laksamana dan Taman Hilir.

“Kita sentiasa memandang serius perkara ini dan pelbagai pendekatan dan program dilaksanakan dalam usaha mengekang pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes.

“Pada masa sama kita berharap, penduduk juga dalam memainkan peranan mereka bagi memastikan kebersihan persekitaran yang sentiasa bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Berita Harian X