Jumaat, 16 Ogos 2019 | 11:12pm
Feri penumpang membawa 139 penumpang dalam perjalanan daripada Kuala Kedah ke Pulau Langkawi pada jam 7 malam tadi terpaksa berpatah balik akibat angin kencang di Perairan Kuala Kedah. - Arkib NSTP
Feri penumpang membawa 139 penumpang dalam perjalanan daripada Kuala Kedah ke Pulau Langkawi pada jam 7 malam tadi terpaksa berpatah balik akibat angin kencang di Perairan Kuala Kedah. - Arkib NSTP

Feri ke Langkawi berpatah balik akibat angin kencang

ALOR SETAR: Feri penumpang membawa 139 penumpang dalam perjalanan daripada Kuala Kedah ke Pulau Langkawi pada jam 7 malam tadi terpaksa berpatah balik akibat angin kencang di Perairan Kuala Kedah.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom, berkata keputusan berpatah balik terpaksa dibuat demi keselamatan penumpang ketika feri berkenaan berada pada kedudukan lapan batu nautika daripada Terminal Feri Kuala Kedah.

“Pengurusan Ferry Line Venture sudah memulangkan tambang kepada penumpang dan ada penumpang yang menukar tiket perjalanan pada jam 7 pagi esok.

“Malah, pihak pengurusan turut juga membatalkan jadual perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah pada jam 7.30 pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian Taufan Lekima, Jumaat lalu memberi peringatan kepada semua pihak termasuk syarikatnya untuk lebih berhati-hati dalam menghadapi cuaca buruk.

“Keputusan berpatah balik tadi adalah pertama kali dilakukan kerana tidak mahu mengambil risiko membahayakan keselamatan penumpang,” katanya.

Berita Harian X