Rabu, 7 Ogos 2019 | 2:41pm
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh (dua kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew ketika hadir pada Sidang Dewan Negeri, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

Hab Logistik SBEZ dijangka siap kira-kira dua tahun

ALOR SETAR: Hab Logistik Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) yang bakal dibangunkan di Kota Perdana, dijangka siap dan mula beroperasi dalam tempoh kira-kira dua tahun lagi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata projek terbabit dalam proses permohonan kebenaran merancang dengan syarikat rakan niaga strategik dipilih, Northern Gateway Sdn Bhd, dan kini pada peringkat akhir memuktamadkan rundingan kerjasama.

“Komponen projek paling awal boleh disiapkan ialah depoh lori untuk kegunaan kenderaan pengangkutan yang pembinaannya tidak mengambil masa lama.

“Ia perlu disiapkan segera kerana kita sedia maklum pintu sempadan sudah dibuka 24 jam menyebabkan jumlah lori kontena yang masuk mulai meningkat,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PH-Guar Chempedak) mengenai bila hab itu dijangka siap dan mampu beroperasi sepenuhnya.

Sementara itu, Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra berkata, kerajaan negeri sudah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) membangunkan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

“MoU bersama pemaju dari China, Capital Global, adalah untuk membangunkan tanah kepunyaan PKNK di Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) dengan kaedah pajakan selama 60 tahun.

“Capital Global akan menyediakan peruntukan bagi pembangunan infrastruktur taman industri KSTP itu,” katanya menjawab soalan asal Ku Abdul Rahman berhubung status projek KSTP dari aspek prasarana dan pelabur.

Berita Harian X