Ahad, 4 Ogos 2019 | 3:34pm
Dr Sahruddin berucap pada sidang media selepas sesi ‘townhall’ di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di Pasir Gudang, hari ini. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Dr Sahruddin berucap pada sidang media selepas sesi ‘townhall’ di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di Pasir Gudang, hari ini. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Kerajaan Johor rancang pindahkan kilang kimia di Pasir Gudang

PASIR GUDANG: Kerajaan Johor merancang mewujudkan kawasan perindustrian baharu dan memindahkan kilang kimia berbahaya di sini bagi mengawal kadar pencemaran di lokasi terbabit.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata ia berikutan kawasan perindustrian di sini sudah terlalu padat, sekali gus sukar untuk kerajaan negeri mewujudkan zon penampan.

“Perancangan jangka panjang memang sudah ada, namun Kerajaan Johor mahu melihat hasil Kajian Kelestarian Pasir Gudang yang sedang dijalankan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

“Jika dapatan kajian merumuskan kilang kimia perlu dipindahkan dari sini, kita akan memindahkannya keluar.

“Justeru, Kerajaan Johor bercadang mewujudkan kawasan perindustrian baharu di luar Pasir Gudang bagi menempatkan kilang kimia berisiko tinggi untuk mengawal pencemaran di tempat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi ‘townhall’ di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Awal bulan lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, dilaporkan berkata sebarang permohonan untuk membina kilang kimia baharu di Pasir Gudang tidak akan diluluskan lagi pada masa depan bagi memastikan pembangunan lebih lestari di kawasan terbabit.

Bee Yin dipetik sebagai berkata, perancangan itu sudah dibincang bersama kerajaan negeri bagi memastikan Pasir Gudang membangun lebih lestari pada masa depan.

Mengikut data MESTECC, ada 2,005 kilang di kawasan Pasir Gudang dengan 250 daripadanya adalah kilang kimia.

Ditanya berhubung isu pampasan kepada mangsa pencemaran udara di sini yang ditimbulkan peserta sesi ‘townhall’ pula, Dr Sahruddin berkata, perkara berkenaan masih belum diputuskan Kerajaan Johor.

“Kita belum ada ketetapan mengenai pampasan terbabit, namun kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sebelum membuat keputusan,” katanya.

Berita Harian X