Selasa, 30 Julai 2019 | 5:06pm
Nurul Tasha teruja menunjukkan kebolehan ayam jantan peliharaannya untuk bertanding merebut gelaran juara pada pertandingan Ayam Sorak pada pertandingan ayam sorak di Kampung Padang Lati, Wakaf Bharu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Nurul Tasha teruja menunjukkan kebolehan ayam jantan peliharaannya untuk bertanding merebut gelaran juara pada pertandingan Ayam Sorak pada pertandingan ayam sorak di Kampung Padang Lati, Wakaf Bharu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Ibu hamil sertai pertandingan ayam sorak

TUMPAT: Dua ibu mengandung antara 20 peserta wanita yang menyertai pertandingan ayam sorak di Kampung Padang Lati di sini, hari ini.

Nurul Tasha Hasmadi, 25 dan Mismurni Dolah, 28, masing-masing mengandung enam dan lapan bulan bersorak di luar bon (gelanggang) mengarahkan ayam peliharaan mereka berkokok menarik perhatian pengunjung.

Nurul Tasha yang mengandung anak keempat, berkata pada awal kehamilan, dia tidak dapat menyertai pertandingan kerana mengalami alahan namun selepas keadaan semakin baik, boleh dikatakan setiap hari dia dan suaminya, Muhamad Azrul Azhar, 34, akan ke lokasi pertandingan di sekitar Tumpat dan Pasir Mas.

Katanya, minatnya untuk menyertai pertandingan ayam sorak timbul apabila dihadiahkan seekor ayam hutan oleh suaminya.

“Sebelum ini pun saya kerap mengikuti suami ke pertandingan ayam sorak namun hanya menemaninya sahaja.

“Tapi selepas suami membeli seekor ayam jantan dari Kedah pada Februari lalu, haiwan itu sangat jinak dan manja dengan saya menyebabkan saya teringin untuk menyertai pertandingan.

“Sejak dari itu, saya bersama suami selalu menyertai pertandingan ayam sorak dengan membawa dua ayam jantan dinamakan ‘Baby’ dan ‘Boy’.

Dalam tempoh itu sudah puluhan kali ayam saya bergelar juara,” katanya.

Bagi Mismurni pula, dia menyertai pertandingan ayam sorak sebagai mengisi masa lapang ketika menemani suami, Mohd Subki Saidi, 44, yang memang menggemari acara itu.

“Bukan saja sekitar Kelantan, pertandingan ayam sorak juga kerap dianjurkan di Pattani (Thailand) dan kami akan ke sana untuk memeriahkan acara.

“Biasanya tiga dari lapan ayam hutan kami akan dibawa untuk pertandingan dan selalunya ada yang tersenarai sebagai pemenang,” katanya.

Sementara itu, penganjur pertandingan, Wahida Jusoh, 42, berkata dia memperkenalkan bon khusus untuk wanita kerana menyedari acara itu turut diminati wanita termasuk dirinya sendiri.

“Atas faktor itu lah saya menyediakan bon khas untuk peserta wanita yang berminat terhadap pertandingan ini,” katanya.

Berita Harian X