Ahad, 28 Julai 2019 | 8:08pm

UniSZA kaji 30,000 muka surat manuskrip dunia Melayu

KUALA LUMPUR: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menjaga dan mengkaji lebih 30,000 muka surat manuskrip lama berkaitan dunia Melayu.

Ia susulan UniSZA menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Durham University yang memiliki kepakaran tinggi dalam bidang kajian manuskrip dan pendigitalan serta memiliki koleksi simpanan manuskrip lama yang besar berkaitan dunia Melayu.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, majlis menandatangani MoU itu antara intipati lawatan kerja Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ke United Kingdom dari 25 Julai lalu hingga hari ini.

Katanya, pemeteraian MoU itu bakal meningkatkan kerjasama antara kedua-dua universiti melalui pertukaran maklumat, perkongsian pengalaman, penganjuran persidangan, kolokium, simposium dan pertukaran ahli akademik serta pelajar bagi penyelidikan.

Selain itu, UniSZA turut membeli manuskrip digital Malcolm Macdonald dalam usaha menubuhkan Pusat Kajian Manuskrip secara dalam talian, sekali gus bakal menjadi rujukan kajian manuskrip Islam terbesar di Asia Tenggara.

“Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) selaku pelaksana dan sekretariat bagi pihak UniSZA sudah berbincang dengan Arkib Negara Malaysia yang bersetuju membeli manuskrip digital ini.

“UniSZA berhasrat menjaga dan mengkaji lebih 30,000 muka surat manuskrip lama berkaitan dunia Melayu. Bagi pemuliharaan kualiti dan nilai, manuskrip lama ini perlu didigitalkan serta disimpan di Perpustakaan UniSZA yang menjadi pangkalan digital katalog dokumen rasmi berkaitan sejarah ketamadunan Melayu,” kata kenyataan itu, hari ini.

Lawatan kerja Maszlee selama empat hari ke United Kingdom itu diiringi Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Selain majlis menandatangani MoU itu, Maszlee turut menyampaikan ucaptama di 14th Annual Durham Islamic Finance Summer School pada Jumaat lalu, menyentuh peranan pendidikan dan kajian dalam pembangunan kewangan Islam di era Malaysia Baharu.

Berita Harian X