X
Jumaat, 26 Julai 2019 | 3:43pm
PENGARAH Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming. - Foto Abdullah Yusof
PENGARAH Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming. - Foto Abdullah Yusof

3 kes wabak Chikungunya dicatatkan di Perak

IPOH: Wabak Chikungunya dilaporkan berlaku di Kampung Baru Simpang Pulai, dekat sini sejak 18 Julai dan hingga 23 Julai lalu, dengan tiga kes dicatatkan membabitkan mangsa berusia antara 15 hingga 67 tahun.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming, tiga kes Chikungunya dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan membabitkan seorang remaja perempuan berumur 15 tahun dan dua lelaki berumur 47 tahun dan 67 tahun.

“Dua pesakit sudah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Ipoh, manakala seorang lagi telah dimasukkan ke wad di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Setakat ini semua pesakit berada di dalam keadaan stabil dan sudah dibenarkan pulang.

“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung penularan wabak itu, dan antara yang sudah dilaksanakan di Kampung Baru Simpang Pulai, termasuk pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan secara berterusan membabitkan 89 rumah.

“Pengesanan kes secara aktif di kampung ini juga dijalankan yang mana seramai 912 orang penduduk saring dan tiada kes baru dikesan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Lay Ming berkata, bagi mengekang penularan wabak itu, JKN melakukan semburan ruang termal (SRT) membabitkan 268 premis, manakala selain semburan ultra low volume (ULV) di sekitar 350 premis.

Katanya, JKN juga melakukan aktiviti pendidikan kesihatan seperti nasihat individu, tunjuk cara, edaran risalah dan hebahan awam di kawasan berkenaan selain melakukan aktiviti kawalan dan pencegahan berterusan di kawasan itu.

“Satu aktiviti gotong-royong dirancang dilaksanakan di kawasan berkenaan pada 27 Julai ini (esok) bagi memutuskan rantaian penularan penyakit.

“Pembawa penyakit Chikungunya adalah nyamuk aedes, iaitu nyamuk sama menyebarkan jangkitan demam denggi, oleh itu JKN menasihatkan masyarakat sentiasa peka dengan kebersihan di kawasan kediaman.

“Langkah itu boleh dilakukan dengan tidak menyimpan takungan yang boleh menjadi pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan mengamalkan perlindungan diri dari gigitan nyamuk seperti penggunaan losyen anti serangga apabila berada di luar rumah, terutama antara jam 5 pagi hingga 7 pagi, dan jam 5 petang hingga 7 malam selain memakai pakaian berlengan panjang, berseluar panjang dan berwarna cerah.

“Orang ramai sekiranya mengalami demam, segeralah menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan rawatan dari fasiliti kesihatan terdekat,” katanya.

Berita Harian X