Rabu, 24 Julai 2019 | 5:49pm
Pengarah KPDNHEP Negeri Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah (kiri) menunjukkan pelbagai barangan tiruan untuk proses pelupusan di Stor Ekshibit KPDNHEP Selangor, Bukit Raja. - NSTP/Roslin Mat Tahir
Pengarah KPDNHEP Negeri Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah (kiri) menunjukkan pelbagai barangan tiruan untuk proses pelupusan di Stor Ekshibit KPDNHEP Selangor, Bukit Raja. - NSTP/Roslin Mat Tahir

KPDNHEP Selangor lupus barangan rampasan bernilai RM1.29 juta sejak Januari

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melupuskan pelbagai barang rampasan berjumlah RM188,664 membabitkan 19 kes hari ini.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pelupusan itu adalah kali ketujuh dan kesemua kes yang terbabit sudah selesai menjalani proses mahkamah serta mendapat kebenaran untuk dilupuskan daripada mahkamah.

“Antara barangan tiruan yang dilupuskan kali ini adalah beg tangan, dompet, kasut, alat ganti kenderaan, jam tangan, jersi, produk kesihatan dan lain-lain barangan.

“Kesemua barangan yang dilupuskan adalah kes rampasan barangan yang membabitkan pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Jualan Langsung serta Skim Anti Piramid 1993,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas proses pelupusan ekshibit di Stor Ekshibit KPDNHEP Selangor, di sini hari ini.

Muhamad Zikril berkata, secara keseluruhan bermula Januari hingga Julai ini, KPDNHEP melupuskan pelbagai barangan tiruan bernilai RM1.29 juta yang membabitkan 107 kes.

Katanya, kerja pelupusan akan dilakukan mengikut nilai serta barangan rampasan yang ada dan memandangkan jumlah barangan rampasan serta nilainya tinggi di Selangor, maka pelupusan dilakukan sebulan sekali ataupun dua bulan sekali.

“KPDNHEP juga ingin memberi amaran kepada mana-mana peniaga agar tidak terbabit menjual barangan tiruan manakala pengguna pula dinasihatkan untuk tidak membeli barang tiruan kerana selain tidak berkualiti, ia juga sebagai inisiatif melindungi harta intelek pemilik cap dagang.

“Kita juga sering bekerjasama dengan pemilik cap dagang untuk dapatkan maklumat sebelum melakukan operasi barangan tiruan,” katanya.

Berita Harian X