Rabu, 24 Julai 2019 | 1:03pm

Kuching catat kes denggi tertinggi

KUCHING: Bandar raya Kuching mencatatkan kes denggi tertinggi dengan sebanyak 363 kes dilaporkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, ini diikuti dengan Miri dengan 114 kes dan Betong 108 kes.

“Kes denggi semakin membimbangkan di Sarawak apabila dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja sudah mencatatkan 924 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Misi Gempur Denggi Bersama Yang Berhormat Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kuching No 1, hari ini.

SMK Bandar Kuching No 1 antara sebuah sekolah yang dipilih mewakili Sarawak dalam pertandingan cegah denggi peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, bulan depan.

Mengulas lanjut, Dr Sim berkata, kes denggi menjadi mimpi ngeri rakyat Malaysia pada tahun ini kerana mencatatkan sebanyak 100 kes kematian

“Oleh itu, kita mesti perangi denggi habis-habisan dan ini memerlukan kerjasama semua pihak.

“Semua pihak sentiasa harus peka dengan keadaan sekeliling kerana nyamuk aedes boleh berada di mana-mana sahaja,”katanya.

Katanya, langkah bersepadu perlu dilaksanakan dengan memberi lebih tumpuan terhadap kawasan serta rumah terbiar kerana di situ biasanya menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Berita Harian X