Isnin, 22 Julai 2019 | 5:40pm
Jennifer (kiri) diiringi Oike (dua dari kiri) melawat pameran selepas Majlis Perasmian Pameran Seni Lukis Kanak-Kanak Malaysia dan Jepun, di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
Jennifer (kiri) diiringi Oike (dua dari kiri) melawat pameran selepas Majlis Perasmian Pameran Seni Lukis Kanak-Kanak Malaysia dan Jepun, di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Tingkatkan kreativiti melalui program pertukaran pelajar

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah menyokong inisiatif membangunkan lagi kreativiti dalam kalangan kanak-kanak di negeri ini dengan menghantar mereka ke luar negara melalui program pertukaran pelajar.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, Jennifer Lasimbang, berkata ini berikutan Sabah ada ramai anak muda berbakat tetapi tidak berpeluang keluar ke tempat lain.

“Kita sedang membangunkan industri kreatif di Sabah, termasuk karya lukisan. Justeru, sekarang adalah masa sesuai untuk kita melihat secara mendalam program itu bagi membina rakyat yang kreatif.

“Bagi menjayakannya, kita perlu memberikan pendedahan melancong sambil belajar supaya anak-anak boleh melihat negara lain, yang mampu meningkatkan lagi kreativiti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Lukisan Kanak-Kanak Malaysia dan Jepun 2019 mewakili Menterinya, Datuk Dr Yusof Yacob, di Perpustakaan Negeri Sabah cawangan Tanjung Aru, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, wakil NPO Corp May Asaka Center (MAY Library) dari Jepun, Fumiko Oike, dan Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Wong Vui Yin.

Pameran selama 10 hari itu adalah anjuran bersama Jabatan Pendidikan Sabah, Perpustakaan Negeri Sabah dan MAY Library.

Sebanyak 300 lukisan hasil karya murid dari Sabah serta Jepun dipamerkan sempena Pameran Lukisan Kanak-Kanak Malaysia dan Jepun pada tahun ini.

Pameran itu meliputi 160 lukisan daripada kanak-kanak sekolah rendah di Jepun, dan selebihnya himpunan lukisan dari 26 sekolah rendah sekitar Kota Kinabalu.

Jennifer berkata, kerjasama program pameran lukisan antara Sabah dengan Jepun itu sudah terjalin selama 18 tahun.

“Melalui kerjasama sedia ada ini, mungkin kita boleh mengambil peluang bekerjasama menghantar anak-anak yang berbakat ke Jepun untuk menyertai kem musim panas atau kem musim sejuk di situ pula,” katanya.

Sementara itu, Oike berkata, lukisan mampu membantu kanak-kanak lebih mengetahui dan mengenali kebudayaan kedua-dua negara.

“Ini akan menjadi pemangkin untuk menambah pengetahuan mengenai kepelbagaian budaya yang ada di kedua-dua negara,” katanya.

Berita Harian X