Ahad, 21 Julai 2019 | 6:22pm

Bekalan air pulih 94 peratus setakat tengah hari

KUALA LUMPUR: Proses pemulihan bekalan air di tujuh wilayah terjejas di Selangor dan Kuala Lumpur susulan pencemaran bau mencapai tahap 94 peratus hingga jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad, berkata bagi Kuala Selangor dan Hulu Selangor, bekalan air telah pulih sepenuhnya.

Bagi Kuala Lumpur, katanya, bekalan air pulih 99 peratus manakala Petaling pulih 95 peratus.

“Wilayah Klang/Shah Alam, sebanyak 91 peratus pulih dan 94 peratus di wilayah Gombak serta 78 peratus di Kuala Langat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya meletak sasaran bekalan air di wilayah Gombak pulih sepenuhnya esok (22 Julai), manakala Kuala Lumpur dijangka pulih sepenuhnya Selasa (23 Julai).

Tiga wilayah lagi akan pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, Rabu ini.

Katanya, Air Selangor giat berusaha mempercepatkan pemulihan keseluruhan kawasan terjejas dengan meningkatkan tekanan dan menstabilkan aliran bekalan di sistem agihan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan status terkini gangguan bekalan air itu boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my, aplikasi Air Selangor atau menerusi laman Facebook Air Selangor dan Twitter @airselangor.

Sementara itu, kerja pembersihan minyak hitam di kebuk masuk loji rawatan kumbahan Batang Kali, Hulu Selangor yang dikatakan menjadi punca pencemaran bau dan seterusnya menjejaskan bekalan air siap sepenuhnya, dengan loji itu kembali beroperasi jam 5 petang semalam.

Ketua Operasi Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) Wilayah Selatan, Mohd Taufik Salleh, berkata pelepasan efluen juga mengikuti piawaian ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Pemeriksaan IWK awal pagi semalam mendapati minyak pekat berwarna hitam memasuki loji pada jam 7 pagi dan serentak dengan itu pelepasan efluen dihentikan buat sementara waktu bagi menjalankan operasi pembersihan segera.

“Bagi mengelak gangguan kepada kualiti efluen, pengasingan segera dibuat untuk mengawal pelepasan terakhirnya ke Sungai Liam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesan buangan minyak yang masuk secara terlarang ke loji berkenaan memerlukan rawatan tambahan membabitkan kerja penyedutan lapisan minyak yang tebal di kebuk masuk serta penggunaan bahan pengoksidaan untuk mengaktifkan proses biologi bagi mengurangkan kadar bau di efluen terawat.

Dalam pada itu, Mohd Taufik menjelaskan 250 kilogram (kg) karbon (yang diaktifkan) diletakkan di saluran pelepasan efluen terakhir bagi mengurangkan bau sebagaimana yang dicadangkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor.

“IWK turut menyediakan pasukan petugas untuk 24 jam bagi memantau kemasukan bahan yang dibuat secara terlarang daripada berulang,” katanya.

Semalam, pembuangan bahan berasaskan minyak disyaki punca pencemaran bau yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang dihentikan operasinya. – BERNAMA

Berita Harian X