Ahad, 21 Julai 2019 | 1:46pm
MENTERI Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin. NSTP/ Aziah Azmee
MENTERI Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin. NSTP/ Aziah Azmee

Pelancong selamat di Sarawak

MIRI: Pelancong asing yang mahu berkunjung ke destinasi pelancongan di Sarawak termasuk Taman Negara Mulu, tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka ketika berada di lokasi itu.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, berkata kerajaan negeri menerusi agensi berkaitan sentiasa memastikan tahap keselamatan pelancong diutamakan, terutama ketika berada di taman negara.

Beliau berkata, semua kawasan taman negara mempunyai pemandu pelancong yang mahir mengenai kawasan dilawati bagi memastikan pelancong selamat ketika berada di situ.

“Malah, kita tidak menggalakkan pelancong bersendirian dalam hutan atau gua tanpa pemandu pelancong. Ia bagi mengelak mereka sesat atau sebaliknya,” katanya di sini, hari ini.

Kim Shin berkata, pelancong yang ingin berkunjung ke Taman Negara Mulu, boleh berbuat demikian walaupun kawasan insiden yang meragut dua nyawa termasuk seorang pelancong asing dan pemandu pelancong masih ditutup.

Katanya, banyak lokasi lain di tapak warisan dunia itu yang selamat untuk dikunjungi serta dibuka kepada pelancong dalam dan luar negara.

Beliau yang menyifatkan insiden terbaru itu sebagai kes terpencil berkata, terdapat banyak gua di Mulu yang menarik untuk dilihat dan dikunjungi.

“Setiap pelancong akan ditemani pemandu pelancong jika ingin meneroka kawasan gua di taman berkenaan untuk memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak akan terus berusaha menarik lebih ramai pelancong asing khususnya dari China datang ke negeri ini.

Berita Harian X