Ahad, 21 Julai 2019 | 8:46am

Bekalan air pulih 86 peratus jam 6 pagi tadi

SHAH ALAM: Pemulihan bekalan air di tujuh kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual di Selangor mencapai tahap 86 peratus pada jam 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad, berkata jumlah keseluruhan akaun terjejas sebanyak 1,191,942 di tujuh wilayah dengan peratusan pemulihan sebanyak 86 peratus dengan bekalan air di wilayah Kuala Selangor dan Hulu Selangor pulih sepenuhnya.

“Wilayah lain seperti Kuala Lumpur sudah pulih sebanyak 98 peratus dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari Selasa 23 Julai, manakala kadar pemulihan bekalan di Gombak pula pada 94 peratus dan ia dijangka pulih jam 12 tengah hari esok.

” Bagi wilayah Petaling dan Klang/Shah Alam, masing-masing pada tahap 90 peratus dan 76 peratus, dan ia dijangka pulih sepenuhnya Rabu 24 Julai jam 12 tengah hari.

“Sementara itu pemulihan di wilayah Kuala Langat masih pada kosong peratus dan dijangka pulih sepenuhnya pada Rabu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Raof berkata, bantuan lori tangki air masih terus digerakkan ke kawasan yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Pengguna boleh layari laman sesawang www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook Air Selangor dan Twitter @air_selangor untuk maklumat dan status terkini atau hubungi kami di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793/ 019-280 0919 untuk sebarang bantuan.

“Terima kasih atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan tidak berjadual ini,” katanya.

Gangguan bekalan air tidak berjadual itu berlaku selepas pencemaran bau di kesan di Sungai Selangor pada Jumaat lalu, yang memaksa Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3 serta di Rantau Panjang dihenti tugas.

Semalam, BH melaporkan, Unit Kualiti Air Selangor dengan kerjasama pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran dan mendapati tahap pencemaran bau yang tinggi berpunca dari kawasan Sungai Liam, Batang Kali di Hulu Selangor.

Berita Harian X