Khamis, 18 Julai 2019 | 9:06am
Ketua Pasukan Orang Utan WWF-Malaysia, Donna Simon.
Ketua Pasukan Orang Utan WWF-Malaysia, Donna Simon.

Sabah di landasan betul lindungi orang utan - WWF Malaysia

KOTA KINABALU: Sabah berada di landasan yang betul dalam usaha memelihara dan melindungi hidupan liar di negeri ini, khususnya orang utan.

Ia sejajar hasil kajian terkini populasi orang utan di Sabah yang dianggarkan kekal kira-kira 11,000 ekor, iaitu jumlah sama dilaporkan 15 tahun lalu berdasarkan kajian Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia pada tahun 2017 berbanding kajian terdahulu pada tahun 2002.

Ketua Pasukan Orang Utan WWF-Malaysia, Donna Simon, berkata kajian di hutan tengah Sabah, khususnya di Deramakot, Kinabatangan dan Ulu Segama, Lahad Datu mendapati ada sebanyak 5,933 orang utan di kawasan itu pada tahun 2017 berbanding 5,376 ekor pada tahun 2002.

Katanya, pengekalan jumlah orang utan dalam tempoh 15 tahun menggambarkan populasi mamalia itu mampu dipelihara di hutan yang diurus dengan baik.

“Ia menjelaskan kepentingan pengurusan berterusan di hutan tengah Sabah. Faktor penting ialah tiada pemburuan orang utan di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kajian itu adalah usaha paling intensif pernah dijalankan membabitkan primat besar di dunia yang penting dalam usaha pemeliharaan orang utan di negeri ini.

Beliau berkata, kajian menyeluruh itu turut menemui populasi lain dengan sekurang-kurangnya 1,000 orang utan di kawasan Imbak-Kalabakan di barat daya Sabah.

“Kajian ini membolehkan kita memberikan cadangan untuk pelan penggunaan tanah yang lebih baik dan mengenal pasti habitat orang utan yang terancam dengan teruk untuk dipulihkan dan kesinambungan habitat atau untuk perlindungan.

“Kajian ini menunjukkan hanya sebahagian daripada kerja pemeliharaan orang utan yang dilakukan WWF-Malaysia dan kita gembira Sabah berada di landasan yang betul untuk memelihara spesies yang sangat terancam ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya populasi orang utan di kawasan hutan yang dikelilingi ladang kelapa sawit menunjukkan penurunan dengan kadar 30 peratus dan 15 peratus di Kulamba serta Tabin, Lahad Datu dengan kehilangan sekurang-kurangnya 650 orang utan dari kawasan dilindungi di kawasan tanah rendah di pantai timur sejak tahun 2002.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Augustine Tuuga, berkata koridor hidupan liar penting untuk menghubungkan hutan yang terpisah akibat aktiviti perladangan sebagai kunci utama memastikan orang utan dapat terus hidup di kawasan dikelilingi kelapa sawit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Datuk Mashor Mohd Jaini, berkata pihaknya terus komited memelihara dan melindungi spesies hidupan liar yang menjadi ikon negeri ini.

Beliau berkata, Jabatan Perhutanan juga akan terus mengurus kepentingan habitat hidupan liar seperti Deramakot dan hutan simpan di tengah Sabah mengikut amalan Pengurusan Hutan Mapan (SFM) dan mematuhi piawaian persijilan hutan negara dan antarabangsa.

Berdasarkan kajian itu, WWF-Malaysia membuat kesimpulan bahawa Sabah masih menjadi habitat penting orang utan Borneo dengan lebih 70 peratus mamalia itu kini ditemui di kawasan yang dilindungi sepenuhnya di negeri ini.

Berita Harian X