Ahad, 14 Julai 2019 | 5:10pm

JAIM gesa tingkatkan keselamatan tanah perkuburan

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menggesa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan jawatankuasa masjid meningkatkan lagi aspek keselamatan di tanah perkuburan di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani, berkata ia susulan kejadian 29 batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina, Alor Gajah, dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab, kelmarin.

Beliau berkata JAIM memandang serius kejadian itu lebih-lebih lagi kejadian terbaharu itu berlaku kurang sebulan masyarakat digemparkan selepas kira-kira 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang, dirosakkan, batu nisannya turut dipecahkan dan dicabut selain dua kubur dibakar individu tidak bertanggungjawab.

“Kita difahamkan sudah ada tangkapan terhadap suspek di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Jerneh. Kita turut menyeru MPKK dan jawatankuasa masjid untuk beri perhatian kepada keselamatan di tanah perkuburan.

“Pada masa yang sama, boleh usulkan permohonan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya memasang lampu, papan tanda amaran serta meningkatkan kebersihan tanah kubur atau wakaf ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rahimin berkata, suspek kes itu juga boleh disiasat mengikut tiga pertuduhan iaitu Seksyen 62 kerana mempersendakan Agama Islam, Seksyen 80 iaitu mengeluar atau mengalih bahan-bahan batu menyalahi undang-undang serta Seksyen 78 iaitu pendudukan menyalahi undang-undang dan lain-lain atas tanah Majlis Agama Islam Melaka.

“Di bawah Enakmen 6 Tahun 1991 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, Bahagian IV - Kesalahan-kesalahan lain, suspek boleh disiasat mengikut Seksyen 62, Seksyen 80 dan Seksyen 78,” katanya.

BH semalam melaporkan penduduk di Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina, Alor Gajah, gempar apabila 29 batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina, dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.

Kejadian pada pagi kelmarin itu disedari seorang anak kariah kampung itu yang pergi ke kubur berkenaan untuk menziarahi pusara ibunya kira-kira jam 9 pagi.

Pada malam 21 Jun lalu, penduduk Kampung Pasir Putih, Bachang, turut gempar selepas kira-kira 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin dirosakkan, batu nisannya turut dipecahkan dan dicabut selain dua kubur dibakar individu tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, tinjauan BH di tanah perkuburan itu, pagi ini mendapati beberapa batu nisan yang dirosakkan itu masih kekal dan belum dialihkan oleh waris.

Imam Kampung Sungai Jerneh, Mohd Yusof Tamby, 77, berkata semua waris tapak kubur yang terjejas akibat kejadian itu sudah dimaklumkan bagi membolehkan batu nisan yang rosak dibaiki segera.

“Ini adalah kejadian pertama yang berlaku di tanah perkuburan ini. Semua penduduk terkejut memandangkan suspek tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.

“Penduduk dan anak kariah juga akan mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan kubur dalam waktu terdekat,” katanya.

Mohd Yusof menunjukkan serpihan batu nisan yang dirosakkan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina. - NSTP/Rasul Azli Samad
Mohd Yusof menunjukkan serpihan batu nisan yang dirosakkan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina. - NSTP/Rasul Azli Samad
Berita Harian X