X
Rabu, 10 Julai 2019 | 9:25am
MANGSA banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara, di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam, Durian Tunggal. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
MANGSA banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara, di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam, Durian Tunggal. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Hanya tinggal 2 pusat pemindahan mangsa banjir dibuka

MELAKA: Hanya tinggal 153 mangsa banjir di negeri ini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir yang melanda negeri ini sejak Ahad lalu kini semakin surut.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata setakat jam lapan pagi ini, dua PPS yang masih beroperasi adalah di daerah Alor Gajah manakala semua PPS di Melaka Tengah sudah ditutup.

“Setakat jam 8 pagi ini PPS di Balai Raya Bukit Balai menempatkan 15 mangsa daripada tiga keluarga manakala di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam pula 33 keluarga membabitkan 138 mangsa.

“Dua PPS di daerah Melaka Tengah dan sembilan di Alor Gajah juga sudah ditutup,” katanya dalam kenyataan di sini, pagi ini.

Banjir kilat yang melanda negeri ini sejak Ahad lalu mengakibatkan penduduk di dua daripada tiga daerah ini terjejas.

Jumlah tertinggi mangsa direkodkan adalah seramai 1,391 orang daripada 318 keluarga pada Isnin lalu sebelum jumlah berkenaan semakin berkurangan sehingga ke hari ini.

Mengulas lanjut, Effendy berkata bagi daerah Alor Gajah, antara kawasan terjejas adalah di Kampung Gadek, Ganun, Paya Datok, Padang Sebang, Pegoh, Bukit Tambun, Kampung Pulau, Bukit Balai, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah.

Berita Harian X