Selasa, 9 Julai 2019 | 3:38pm
Mangsa banjir, Ismail Jantan, 56, mendayung tong air yang dijadikan perahu untuk meninjau keadaan rumah lamanya yang dihuni dua anak lelakinya di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. - NSTP/Hassan Omar
Mangsa banjir, Ismail Jantan, 56, mendayung tong air yang dijadikan perahu untuk meninjau keadaan rumah lamanya yang dihuni dua anak lelakinya di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. - NSTP/Hassan Omar

Kerajaan negeri sedia peruntukan bantu mangsa banjir

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, berkata kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kepada 250 keluarga yang terjejas akibat banjir selepas keadaan kembali pulih.

“Peruntukan yang diberikan ini berdasarkan laporan polis dibuat mangsa. Bagaimanapun, kita turut menyediakan bantuan bagi membersihkan rumah yang terjejas.

“Pihak yang akan membantu antara lain termasuk Askar Wataniah 514, badan bukan kerajaan (NGO) dan penuntut universiti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Simposium Sayuran Asia Tenggara (SEAVEG) 2019 di sini, hari ini.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, jumlah mangsa banjir di negeri ini membabitkan dua daerah iaitu Alor Gajah dan Melaka Tengah, berkurangan kepada 714 mangsa manakala tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, dalam satu kenyataan, berkata hanya enam PPS beroperasi manakala tujuh sudah ditutup secara berperingkat sejak kelmarin dan semalam.

“Bagi daerah Alor Gajah, jumlah mangsa adalah 396 orang daripada 96 buah keluarga yang ditempatkan di baki empat PPS manakala bagi daerah Melaka Tengah, dua PPS yang masih dibuka menempatkan 318 mangsa daripada 48 keluarga.

“Secara keseluruhannya di kedua-dua daerah, enam PPS beroperasi menempatkan 714 mangsa daripada 181 keluarga,” katanya.

Beliau memaklumkan, antara kawasan yang terjejas di Alor Gajah ialah Kampung Gadek, Paya Datuk, Bukit Balai, Bukit Tambun, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah.

Manakala bagi daerah Melaka Tengah, keluarga yang terjejas adalah di Taman Tamby Chik Karim, Taman Merdeka Jaya, Taman Krubong Jaya, Kampung Lanjut Manis, Kampung Tanah Merah, Kampung Sungai Badau dan Kampung Tampoi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, menjelaskan penduduk Kampung Belimbing Dalam bukan masyarakat setinggan, sebaliknya memiliki geran tanah yang sah daripada ibu bapa atau nenek moyang masing-masing.

Katanya, kawasan itu dibuka pada zaman pemerintahan British, yang menjadi laluan kereta api dan kawasan dikelilingi sawah, sungai dan parti itu mengalami pertambahan penduduk selepas landasan ditutup apabila negara mencapai kemerdekaan.

Beliau yang juga EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, berkata demikian kepada pemberita BH selepas menziarahi mangsa banjir di Kampung Belimbing Dalam dan Taman Belimbing Dalam di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Sofi menyertai 60 sukarelawan dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Amal Relief Melaka (ARIF) membantu membersihkan rumah mangsa banjir.

Berita Harian X