Selasa, 9 Julai 2019 | 12:31am
PENDUDUK Kampung Belimbing Dalam mula membersihkan kediaman mereka selepas banjir mula surut. - Foto BERNAMA
PENDUDUK Kampung Belimbing Dalam mula membersihkan kediaman mereka selepas banjir mula surut. - Foto BERNAMA

Banjir: 2 sekolah masih ditutup esok

MELAKA: Dua sekolah masih ditutup esok berikutan kedua-duanya masih dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri ini.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Abu Bakar Sahari, dua sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong di Melaka Tengah dan SK Belimbing Dalam di Alor Gajah.

Menurut beliau, penutupan kedua-dua sekolah ekoran digunakan sebagai PPS menempatkan mangsa banjir, selain jumlah pelajar yang terjejas adalah tinggi.

“Jumlah murid dan guru terjejas di SK Krubong seramai 1,236 murid dan 71 guru, manakala di SK Belimbing Dalam pula ialah 484 murid dan 40 guru.

“Bagaimanapun, guru yang tidak terbabit dengan banjir diminta hadir seperti biasa,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, di sini malam tadi.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel Effendy Ali dalam kenyataannya memaklumkan setakat jam 8 malam tadi, seramai 343 mangsa daripada 87 keluarga masih ditempatkan di SK Belimbing Dalam.

“Di SK Krubong dalam daerah Melaka Tengah pula, 221 keluarga daripada 55 keluarga masih ditempatkan di PPS berkenaan.

“Keseluruhannya, bagi kedua-dua daerah iaitu Alor Gajah dan Melaka Tengah, enam PPS masih beroperasi menempatkan 934 mangsa daripada 212 keluarga,” katanya.

Bagi daerah Alor Gajah, jumlah mangsa adalah 524 orang daripada 111 buah keluarga yang ditempatkan di lima PPS selepas enam daripadanya telah ditutup secara berperingkat.

“Manakala bagi daerah Melaka Tengah, dua PPS yang masih dibuka menempatkan 410 mangsa daripada 101 keluarga,” katanya.

Berita Harian X