Isnin, 8 Julai 2019 | 11:29pm

Banjir: 7 sekeluarga bermalam dalam lori rumah ditenggelami air

ALOR GAJAH: Seorang warga emas bersama tujuh ahli keluarganya terpaksa bermalam di dalam lori tiga tan apabila rumah mereka di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini, ditenggelami banjir setinggi 0.6 meter (m).

Zakaria Naim, 60, dan isteri, tiga anak serta tiga cucunya ialah antara 343 keluarga daripada perkampungan itu yang terjejas akibat banjir melanda daerah ini sejak kelmarin.

“Khemah di pusat pemindahan sementara (PPS) tidak cukup besar menyebabkan kami lapan sekeluarga terpaksa bermalam di dalam lori tiga tan milik majikan menantu. Tambahan pula, khemah disediakan hanya muat untuk empat mangsa setiap keluarga.

“Walaupun tidak selesa tidur di dalam lori, kami tiada pilihan, selain berharap dapat pulang ke rumah dalam masa terdekat,” katanya , di sini, semalam.

Justeru, Zakaria berkata, kerajaan negeri diharap dapat mengatasi segera masalah banjir yang didakwa sudah berlarutan di kawasan itu sejak 1970-an.

Seorang lagi penduduk, Norizan Naim, 52, pula mendakwa banjir kali ini adalah antara yang terburuk melanda kampung itu dalam tempoh lima tahun.

“Kami sudah lali meredah banjir menyelamatkan nyawa dan harta benda, selain berhempas-pulas membersihkan rumah selepas air surut,” katanya.

Beliau yang sudah 30 tahun menetap di kampung itu berkata, selain paras air yang mencecah 1.2m dalam kejadian kelmarin, kediamannya turut ditenggelami banjir setinggi 1.5m pada November tahun lalu.

Mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, katanya, beliau segera mengejutkan suami dan empat anak berusia antara 15 hingga 23 tahun supaya mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang air naik apabila hujan lebat bermula jam 4 pagi kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong, Melaka Tengah, dan SK Belimbing Dalam, terpaksa ditangguhkan semalam.

Pengarah Pendidikan Melaka, Datuk Abu Bakar Sahari, berkata ia berikutan kedua-dua sekolah itu digunakan sebagai PPS untuk mangsa banjir, selain jumlah pelajar yang terjejas adalah tinggi.

“Seramai 1,236 murid dan 71 guru terjejas di SK Krubong, manakala di SK Belimbing Dalam pula membabitkan 484 murid serta 40 guru.

“Bagaimanapun, hanya murid dibenarkan tidak bersekolah, sementara guru tidak terbabit banjir diminta hadir seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan turut dijadikan PPS tetapi sesi persekolahan bagi semua pelajar dan gurunya berjalan seperti biasa.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir kilat menurun kepada 934 mangsa membabitkan 212 keluarga pada jam 8 malam tadi, manakala PPS Balai Raya Tambun ditutup pada jam 2.30 petang semalam.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi kontrak kepada lima katerer untuk menyediakan makanan dan minuman kepada lebih 500 mangsa banjir di daerah ini.

Pengarah Kebajikan Produktif, JKM Putrajaya, Che Samsuzuki Che Noh, berkata katerer dilantik berkenaan bertanggungjawab menyediakan sajian kepada mangsa banjir di 10 PPS di Alor Gajah.

Zakaria Naim bersama keluarga menggunakan lori sebagai tempat berlindung selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. - NSTP/Rasul Azli Samad
Zakaria Naim bersama keluarga menggunakan lori sebagai tempat berlindung selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. - NSTP/Rasul Azli Samad
Berita Harian X