Isnin, 8 Julai 2019 | 5:11pm
Penyelam membersihkan pukat yang tersangkut pada dasar laut di Siwa Reaf di Taman Negara Marin Miri-Sibuti. - NSTP/Kandau Sidi
Penyelam membersihkan pukat yang tersangkut pada dasar laut di Siwa Reaf di Taman Negara Marin Miri-Sibuti. - NSTP/Kandau Sidi

26 penyelam bersihkan terumbu karang Siwa Reaf

MIRI: Sekumpulan 26 penyelam membersihkan kawasan terumbu karang Siwa Reaf, semalam, daripada pukat yang tersangkut dan tertanam di dasar laut dekat Taman Negara Marin Miri-Sibuti, di sini.

Program anjuran Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) disertai unit penyelam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) serta penyelam dari Brunei dan Labuan.

Melalui inisiatif itu, lebih 130 kilogram bangkai pukat yang tertanam di dasar laut dan dikhuatiri menjejaskan pertumbuhan batu karang dan pembiakan ikan, berjaya dikutip dalam tempoh lebih lapan jam.

Pengerusi MNS Miri, Iqbal Abdollah, berkata pencapaian itu disifatkan satu kejayaan besar dengan penyertaan ramai penyelam yang membantu membersihkan taman marin berkenaan secara sukarela.

“Usaha itu adalah yang kedua dianjurkan di Taman Negara Marin Miri-Sibuti, tahun ini,” katanya kepada BH, di sini.

Mengulas lanjut, Iqbal berkata, masih ada banyak pukat terdampar di dasar laut di Taman Negara Marin Miri-Sibuti yang perlu dibersihkan.

Jika tidak, katanya, ia boleh menjejaskan pertumbuhan batu karang dan memerangkap hidupan marin di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya merancang meneruskan aktiviti itu bagi membersihkan terumbu karang daripada ancaman pukat yang ditinggalkan nelayan di situ.

Namun, katanya, sasaran program selepas ini membabitkan pukat di kawasan air lebih dalam yang mencecah paras 30 meter (m), sekali gus memerlukan penyertaan penyelam lebih berpengalaman.

“Antara kawasan akan dibersihkan ialah Batu Belais dan lokasi dengan kedalaman sekitar 30m,” katanya.

Berita Harian X