Khamis, 4 Julai 2019 | 6:43pm
Mohd Salleh Angullia Esa, 26, dari Kampung Kelulut melihat pokok anggur jenis black ozark dari Rusia yang paling digemari ramai. - Foto |Ahmad Rabiul Zulkifli
Mohd Salleh Angullia Esa, 26, dari Kampung Kelulut melihat pokok anggur jenis black ozark dari Rusia yang paling digemari ramai. - Foto |Ahmad Rabiul Zulkifli

14 jenis anggur subur di Terengganu

Marang: Usaha seorang lelaki melakukan kajian selama lima tahun nyata membuahkan hasil apabila berjaya menanam lebih 30 pokok anggur di kawasan rumahnya di Kampung Kelulut, di sini.

Ia sekali gus membuktikan dakwaan kononnya pokok anggur hanya sesuai ditanam di kawasan sejuk sebagai tidak tepat.

Ketika ini, Mohd Salleh Angullia Esa, 26, mempunyai 14 jenis pokok anggur seperti black ozark, summer black, everest, isabella dan white malaga dari Amerika Syarikat, Perancis, Brazil, Russia dan Ukraine yang ditanam sejak 2015.

“Saya tidak belajar secara formal tetapi banyak melakukan rujukan sama ada melalui pembacaan atau secara dalam talian termasuk YouTube.

“Minat menjadi dorongan utama saya selain mahu mencipta kelainan dan membuktikan dakwaan pokok anggur hanya boleh hidup di kawasan suhu rendah tidak benar.

“Sebelum menanam tanaman ini, saya terlebih dahulu menanam pokok strawberi dan berjaya mengeluarkan hasil setanding keluaran Cameron Highlands,” katanya.

Mohd Salleh berkata, faktor cerewet dan pokok manja menyebabkan dia berhenti menanam strawberi dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanaman anggur.

“Pada peringkat awal, saya mengalami kerugian dan kegagalan teruk kerana kaedah yang diguna pakai silap selain benih anggur yang kurang berkualiti.

“Bagaimanapun, melalui pengalaman itu saya belajar selain tidak berputus asa dan meneruskan usaha itu termasuk membawa masuk benih anggur dari luar negara yang lebih berkualiti.

Anggur jenis isabella dari South Carolina, Amerika Syarikat. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifl
Anggur jenis isabella dari South Carolina, Amerika Syarikat. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifl

“Alhamdulillah, usaha itu kian membuahkan hasil apabila lima pokok terawal yang ditanam kini mengeluarkan hasil setiap Mei dan Jun setiap tahun,” katanya.

Tambahnya, biarpun terpaksa berbelanja lebih bagi mengusahakan tanaman termasuk proses membaja namun ia berbaloi dengan hasil yang diperoleh.

“Sejak tanaman itu mengeluarkan hasil, saya tidak pernah menjualnya dan ia dipetik untuk dimakan sendiri selain meraikan tetamu dan orang ramai yang berkunjung.

“Selepas ia tular di media sosial, ramai pengunjung dari seluruh negeri datang ke rumah untuk melihatnya sendiri dan saya tidak kisah berkongsi ilmu serta pengalaman dengan mereka.

“Berdasarkan kajian, anggur sangat sesuai ditanam di kawasan bercuaca panas seperti negara ini kerana ia membuatkan buah yang dihasilkan lebih manis berbanding buah yang dikeluarkan di kawasan bersuhu sejuk cuma saiznya lebih kecil,” katanya.

Sementara itu, pengunjung, Tengku Nura Najihah Tengku Adnan, 25, berkata, dia teruja apabila melihat pokok anggur dan strawberi mampu hidup subur dan mengeluarkan hasil di Terengganu.

“Selepas melihatnya tular di media sosial, saya dan rakan sekerja terus ke sini untuk melihatnya sendiri.

“Tidak sangka pokok anggur boleh ditanam di kawasan panas kerana selama ini kita dimaklumkan ia hanya sesuai ditanam di kawasan bersuhu sejuk seperti Cameron Highlands.

“Berbaloi kerana dapat melihat dan menikmati anggur segar yang baru dipetik daripada pokok walaupun terpaksa memandu sejauh 40 kilometer untuk ke sini,” katanya yang menggemari anggur jenis black ozark.

Berita Harian X