Ahad, 30 Jun 2019 | 4:45pm
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Pencemaran bau LRA Sungai Semenyih: Tindakan mahkamah jika didapati jadi punca

BANTING: Tindakan mahkamah akan dikenakan terhadap terhadap mana-mana pihak yang didapati menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih pada Rabu lalu sehingga mengganggu operasi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sungai Semenyih).

Tindakan itu termasuk terhadap sebuah kilang pemproses kelapa sawit yang terletak berdekatan dengan LRA Sungai Semenyih, jika siasatan mendapati ia terbabit atau menjadi punca pencemaran.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata pihaknya sudah mengarahkan siasatan dijalankan sejak tiga hari lalu bagi mengenalpasti punca pencemaran terbabit.

“Pihak jabatan kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan sedang menjalankan Siasatan. Saya juga meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat siasatan terhadap loji air itu, bagaimana pencemaran itu berlaku dan mana puncanya.

“Saya sedang tunggu maklumat daripada SPAN dan juga jabatan lain selepas itu kita tengok apa tindakan yang akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Parlimen Kuala Langat di Jalan Gangsa, Taman Perindustrian di sini, hari ini.

Dr Xavier berkata, kilang yang terletak berhampiran loji terbabit juga sudah diarahkan menghentikan operasi bagi siasatan lanjut.

“Saya gembira, kilang itu disita, menghentikan kerja (operasi) dalam tempoh dua minggu untuk kita buat siasatan dalaman terhadap kilang syarikat kelapa sawit itu.

“Sekarang kita boleh guna undang-undang yang ada bawah SPAN untuk kita ambil tindakan keras atas sesiapa yang buat pencemaran.

“Jika kita boleh buktikan, kita ambil tindakan mahkamah terhadap mereka,” katanya.

Dalam pada itu Dr Xavier berkata, siasatan juga dilakukan sekiranya pencemaran berlaku di LRA lain.

Pada Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian, berkata insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih itu dikenal pasti berpunca dari sebuah kilang memproses sawit mentah kepada minyak sawit di sekitar kawasan sungai berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan negeri sudah mengarahkan kilang itu menghentikan operasi bagi membendung pencemaran menjadi lebih buruk.

Berikutan insiden itu, sebanyak 512 kawasan membabitkan sejumlah 377,141 pelanggan berdaftar di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang, terkesan dengan gangguan bekalan air serta tekanan rendah.

Berita Harian X