Khamis, 27 Jun 2019 | 5:39pm
HEE Loy Sian
HEE Loy Sian

Kilang punca pencemaran bau di Sungai Semenyih

SHAH ALAM: Insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, semalam, dikenal pasti berpunca dari sebuah kilang memproses sawit mentah kepada minyak sawit di sekitar kawasan sungai berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian, berkata kerajaan negeri sudah mengarahkan kilang itu menghentikan operasi bagi membendung pencemaran menjadi lebih buruk.

Beliau berkata, pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga sudah memulakan langkah pembendungan pencemaran dengan menggunakan ‘activated carbon’ (AC) dan pengambilan sampel dari kilang itu hingga ke Sungai Rinching sejauh 450 meter yang mengalir ke Sungai Semenyih.

“Hingga jam 6 pagi tadi, kesan bau sudah menurun kepada 0 ton dan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kembali beroperasi secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Loy Sian berkata, pencemaran bau yang tinggi di Sungai Semenyih, semalam, mencapai tujuh ton sehingga menyebabkan LRA Sungai Semenyih dihenti tugas sementara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, LUAS juga sedang meneliti tindakan undang-undang yang boleh diambil berdasarkan Enakmen LUAS 1999 terhadap pelaku pencemaran berkenaan seperti terkandung bawah Seksyen 121(1) enakmen itu.

Media sebelum ini melaporkan pencemaran bau di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah bagi LRA Sungai Semenyih, semalam, menyebabkan loji rawatan itu terpaksa dihenti tugas.

Susulan itu, sebanyak 512 kawasan membabitkan sejumlah 377,141 pelanggan berdaftar di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang, terkesan dengan gangguan bekalan air serta tekanan rendah.

Berita Harian X