Rabu, 26 Jun 2019 | 7:27pm
LRA Sungai Semenyih
LRA Sungai Semenyih

LRA Sungai Semenyih dihenti tugas susulan pencemaran bau

SHAH ALAM: Pencemaran bau di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah bagi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sungai Semenyih), menyebabkan loji rawatan itu terpaksa dihenti tugas.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad, berkata susulan tindakan itu, beberapa kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dijangka terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah.

“Pihak kami dengan kerjasama agensi-agensi yang berkaitan sedang bekerjasama bagi mengenal pasti punca pencemaran.

LRA Sungai Semenyih
LRA Sungai Semenyih

“Beberapa kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dijangka terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah bermula pada jam 9 malam ini.

“Pihak kami akan mengemaskini maklumat terkini dan senarai kawasan yang terkesan selain sedang berusaha mengatasi masalah ini dan kerjasama pengguna amatlah dihargai,” katanya.

Abd Raof berkata, pengguna di empat wilayah berkenaan diminta merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my bagi mendapatkan maklumat dan status terkini.

Berita Harian X