Ahad, 23 Jun 2019 | 12:49pm
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim. - NSTP/Mohd Ruzaini Zulkepli
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim. - NSTP/Mohd Ruzaini Zulkepli

Cedera terkena tembakan pemburu

TUARAN: Seorang lelaki cedera pada bahagian bibir, selain dada dan tangannya selepas terkena tembakan di Kampung Lokub, Kiulu pada Rabu lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa berusia 27 tahun itu sedang mengutip buah mangga di sebuah kebun berhampiran.

Difahamkan, mangsa terkena tembakan dari senjata api buatan sendiri jenis `ginsuk’ yang dilepaskan seorang pemburu di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa terdengar bunyi tembakan sebelum tiba-tiba rasa sakit dan menjerit meminta pertolongan.

“Sejurus terdengar jeritan mangsa, suspek lelaki berusia 42 tahun bergegas mendapatkan mangsa. Difahamkan, suspek juga panik sejurus menyedari mangsa cedera akibat tembakan dilepaskannya.

“Suspek kemudiannya membantu dan membawa mangsa ke Pusat Perubatan Jesselton (JMC), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Bertindak atas laporan dibuat, suspek kemudian ditahan keesokan harinya untuk siasatan lanjut.

“Dalam siasatan dilakukan, suspek mengaku melepaskan tembakan iti. Suspek dikatakan tidak sengaja tertembak mangsa kerana tergelincir ketika berjalan dan ingin menembak tupai.

“Suspek yang tergelincir kemudiannya tertekan picu dan terlepas satu das tembakan ke arah. Pada masa yang sama, suspek juga tidak mengetahui mangsa berada di kawasan kebun itu. Senjata yang digunakan suspek masih lagi dikesan,” katanya.

Mohd Hamizi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan usaha mengesan senjata api digunakan sedang giat dilakukan.

Terdahulu, Mohd Hamizi berkata, tindakan orang awam menyimpan atau memiliki senjata buatan sendiri tanpa permit sah adalah salah dan boleh didakwa.

Berita Harian X