Khamis, 20 Jun 2019 | 4:01pm
Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob. - Foto Malai Rosmah Tuah
Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob. - Foto Malai Rosmah Tuah

Sabah terima RM88 juta atasi sekolah daif tahun ini

KOTA KINABALU: Sabah menerima peruntukan kecemasan RM78 juta bagi membina bangunan baharu 15 sekolah daif sebagai tambahan kepada peruntukan awal RM10 juta untuk tiga sekolah daif yang dikategorikan sebagai kritikal dan tidak selamat diduduki.

Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata peruntukan baharu itu menjadikan keseluruhannya RM88 juta diterima pada tahun ini untuk mempercepatkan tindakan menangani masalah bangunan sekolah daif di seluruh negeri.

“Berdasarkan audit yang dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR), sebanyak 90 daripada 587 sekolah daif di Sabah didapati tidak selamat diduduki setakat ini, berbanding kira-kira 60 sekolah pada awal tahun ini, jadi ada pertambahan sekolah yang mengalami kerosakan bangunan kritikal.

“Kita khuatir ini membahayakan murid dan guru, jadi kita kemukakan masalah ini kepada Kementerian Kewangan mengatakan kita perlukan peruntukan segera untuk mengatasinya dan hasilnya peruntukan tambahan RM78 juta untuk 15 sekolah kritikal diperoleh.

“Ia menjadikan sebanyak 18 sekolah menerima peruntukan dengan jumlah keseluruhan RM88 juta bagi tahun ini,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018, Sambutan Hari Guru, Aidilfitri dan Kaamatan Pejabat Pendidikan Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan kerja pembinaan bangunan baharu sekolah terbabit akan disegerakan selepas semua proses termasuk reka bentuk bangunan diselesaikan menerusi kerjasama JKR dan Jabatan Pendidikan negeri.

Katanya, usaha juga akan diteruskan bagi mendapatkan peruntukan membina bangunan baharu baki 72 lagi sekolah daif yang dikategorikan sebagai kritikal oleh JKR sebelum disusuli sekolah daif lain yang ada dalam senarai 587 sekolah daif di seluruh negeri.

“Kalau boleh kita memang mahu semua 587 sekolah daif di Sabah ini diselesaikan segera tetapi ia memerlukan peruntukan yang besar sehingga RM3 bilion.

“Bagaimanapun, kita tetap berusaha menerusi perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan kerajaan Pusat dan saya sendiri juga mencari jalan menyelesaikan ini kerana kita tidak boleh tunggu hingga bangunan sekolah terbabit runtuh,” katanya.

Selain bangunan sekolah, katanya kerajaan Pusat turut meluluskan sebanyak RM18 juta untuk pelaksanaan projek pembaikan kemudahan sekolah seperti tandas dan pendawaian elektrik dengan RM6 juta sudah diagihkan, manakala RM12 juta lagi akan diperoleh dalam masa terdekat.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata pihaknya juga mengambil perhatian kepada masalah sekolah di kawasan bandar yang berdepan kesesakan bilik darjah berikutan ada sekolah yang mempunyai hingga 60 murid dalam satu kelas.

Pada masa sama, katanya, isu masih ada pelajar buta huruf ketika memasuki sekolah menengah yang dikesan di kawasan luar bandar juga perlu diberi perhatian dan ditangani agar isu keciciran pelajar dapat diatasi.

“Walaupun ia kes terpencil, kita perlu ambil perhatian termasuk mencari apa puncanya. Mungkin pelajar terbabit lewat masuk sekolah atau ada masalah lain, jadi kita perlu melihatnya dan memastikan ia tidak berlaku lagi,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Yusof turut menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada 373 guru dan pegawai pendidikan termasuk anugerah khas dan tokoh guru bagi kawasan PPD Kota Kinabalu.

Berita Harian X