Selasa, 18 Jun 2019 | 4:04pm
MOHD Farid meninjau keadaan paras laut di perairan Kuala Perlis. STR/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
MOHD Farid meninjau keadaan paras laut di perairan Kuala Perlis. STR/Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Ribut, angin kencang diramal melanda Perlis

KANGAR: Rakyat negeri ini diminta tidak menghampiri kawasan pinggir pantai dan perairan terbuka sehingga esok, berikutan cuaca ribut dan angin kencang.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Mejar (PA) Mohd Farid Ishak, berkata pada jam 1 tengahari tadi, paras air laut mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh tiga hari.

“Paras air laut hari ini dicatatkan pada ketinggian 3.2 meter berbanding semalam, paras itu agak tinggi kerana Perlis kini berada pada musim tengkujuh yang dijangka berlarutan hingga Ogos depan.

“Kelajuan angin turut meningkat antara 10 kilometer sejam hingga 14 kilometer sejam pada hari ini.

“Jadi kita menasihati pengguna jalan raya dan nelayan sentiasa berhati-hati sekiranya menggunakan jalan persisiran pantai Kuala Perlis atau mahu keluar ke laut,” katanya ketika ditemui di Kuala Perlis di sini, hari ini.

Mohd Farid berkata, pihaknya kini sedang bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berikutan ribut dan angin kencang yang melanda Perlis sejak pagi tadi.

“Setakat ini paras air di sungai dalam negeri ini masih normal, cuma seperti yang saya maklumkan pengguna diminta berhati-hati kerana hari ini APM sudah menerima lapan kes pokok tumbang.

“Dua kes pokok tumbang dilaporkan di bandar Kangar yang membabitkan kerosakan sebuah kenderaan di kawasan parkir Bangunan Tun Abdul Razak dan Kota Kayang.

“Tiga lagi di daerah Padang Besar, dua kes di Kuala Perlis dan satu di Arau,” katanya.

Beliau berkata, bilangannya mungkin meningkat kerana Perlis dijangka dilanda ribut dan angin kencang sehingga jam 4 petang esok.

Berita Harian X