X
Khamis, 13 Jun 2019 | 9:38am
Kain rentang yang digantung oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang mengenai wabak denggi di kawasan lokaliti Jalan Usaha dan Jalan Yakin. - NSTP/Adnan Ibrahim
Kain rentang yang digantung oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang mengenai wabak denggi di kawasan lokaliti Jalan Usaha dan Jalan Yakin. - NSTP/Adnan Ibrahim

Taman Sri Lambak, Kluang diisytihar kawasan wabak denggi

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengisytiharkan Taman Sri Lambak, di Kluang sebagai kawasan wabak denggi berikutan peningkatan mendadak kes berkenaan sejak bulan lalu.

Pengarahnya, Dr Selahuddeen Abdul Aziz, berkata sebanyak 52 kes denggi direkodkan dengan kebanyakan kes berlaku di sekitar Jalan Yakin dengan notifikasi pertama diterima pada 9 Mei lalu.

Katanya, satu kematian direkodkan dengan tiga lagi mangsa denggi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) sejak 9 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan jabatan kesihatan di kawasan wabak mendapati punca utama kejadian wabak adalah pembiakan Aedes yang tinggi di kawasan itu.

“Faktor penyumbang utama adalah rumah-rumah kosong yang bersemak-samun serta kurang kerjasama penduduk semasa aktiviti semburan kabus (fogging) dilaksanakan anggota kesihatan.

“Di samping itu, penjagaan kebersihan persekitaran kediaman tidak memuaskan, di mana pembiakan Aedes masih ditemui walaupun pemilik sudah dikenakan kompaun sebelum ini, ” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Selahuddeen berkata, jabatan kesihatan melaksanakan pelbagai usaha untuk membanteras penularan demam denggi, termasuk pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan (PTP) secara berterusan bermula tarikh notifikasi sehingga kini.

“Aktiviti ‘Walkabout’ diadakan di Taman Sri Lambak bagi meninjau keberkesanan aktiviti kawalan pada 10 Jun lalu manakala aktiviti Larvaciding, Semburan Ruang Thermal (SRT) dan Semburan Ultra Low Volume (ULV) di sekitar kawasan wabak dilaksanakan setiap lima hingga tujuh hari.

“Penguatkuasaan juga ditingkatkan di tempat pembiakan dengan sebanyak 43 notis dikeluarkan untuk kawasan Taman Sri Lambak bagi tempoh wabak selain aktiviti pecah masuk bagi rumah kosong akan dilaksanakan seberapa segera bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Gotong-royong bersama komuniti dan agensi berkaitan juga sudah dilaksanakan pada 18 Mei lalu selain itu untuk meningkatkan advokasi denggi, satu mesyuarat wabak denggi luar biasa diadakan pada 11 Jun dengan edaran risalah kesihatan dan hebahan wabak denggi kepada masyarakat setempat, di samping hebahan di masjid melalui jawatankuasa masjid diadakan, ” katanya.

Beliau berkata, jabatan kesihatan menasihatkan penduduk Taman Sri Lambak supaya sentiasa peka dengan keselamatan dan kebersihan sekeliling kawasan rumah dan segera menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di luar atau di dalam rumah.

“Pastikan tiada tempat takungan yang boleh menjadi pembiakan Aedes dengan memeriksa persekitaran rumah sendiri malah sekiranya terdapat pembiakan Aedes di premis kediaman, kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didenda di mahkamah dengan nilai maksimum RM10,000.

“Penduduk juga perlu menggunakan bahan penghalau nyamuk (repellen) apabila berada di luar rumah (awal pagi dan senja, jam 5-7 pagi atau 5-7 petang) dan memakai pakaian lengan panjang dan seluar berwarna cerah malah perlu memberi kerjasama kepada pihak jabatan semasa mereka menjalankan aktiviti penyemburan kabus dengan membuka pintu dan tingkap premis.

“Sekiranya perlu, gunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah.

“Sekiranya mengalami demam, segeralah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik kesihatan berhampiran kerana sebarang kelewatan boleh membawa maut,” katanya.

Beliau berkata, jabatan kesihatan juga berharap orang ramai sentiasa mendapatkan maklumat yang tepat dari sumber yang boleh dipercayai sebelum menularkan sesuatu maklumat berikutan berita palsu boleh mencetuskan panik dan ketidaktenteraman awam.

Berita Harian X