Jumaat, 7 Jun 2019 | 4:46pm

Loji Rawatan Air Sungai Langat kembali beroperasi

KUALA LUMPUR: Loji Rawatan Air Sungai Langat yang terjejas berikutan masalah peralatan penapisan mekanikal tersumbat dan terpelantik, kembali beroperasi dan penyaluran air terawat ke kolam agihan beroperasi seperti biasa, tengah hari tadi.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), dalam satu kenyataan media di sini, hari ini, memaklumkan ia dalam proses menstabilkan tekanan dan aliran meliputi sistem agihan bagi mempercepatkan pemulihan bekalan.

Mengikut kenyataan media ahli Kumpulan Air Selangor itu, berdasarkan pemantauan di lapangan sehingga jam 12 tengah hari tadi, kesan gangguan dapat dikurangkan dan bekalan air di kebanyakan kawasan kembali pulih.

Kawasan yang terjejas di Wilayah Kuala Lumpur mencapai 89 peratus pulih dan hanya tiga kawasan iaitu Pandan Prima, Sebahagian Taman U-Thant dan Taman Tenaga yang masih belum pulih sepenuhnya.

Wilayah Petaling pula mencatatkan pemulihan 100 peratus dan pulih sepenuhnya, manakala peratusan pemulihan lapan kawasan di Wilayah Hulu Langat berada pada tahap 65 peratus.

Bagi mengurangkan impak gangguan, bantuan lori tangki air digerakkan secara berterusan dan pihak SYABAS komited memulihkan bekalan kepada pelanggan terkesan dan menyalurkan bantuan serta meminimumkan impak gangguan.

Terdahulu, SYABAS, dalam satu kenyataan media malam tadi, memaklumkan pengeluaran air terawat Loji Rawatan Air Sungai Langat terjejas berikutan hujan lebat di hulu sungai dan kuantiti sampah sarap yang banyak terkumpul di muka sauk menyebabkan alat penapisan mekanikal tersumbat serta terpelantik.

Maklumat serta senarai kawasan terjejas akan dimaklumkan menerusi laman sesawang www.syabas.com.my untuk maklumat dan status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Berita Harian X