Jumaat, 7 Jun 2019 | 3:11pm

5 kematian akibat denggi sehingga bulan ini

SEREMBAN: Lima kes kematian akibat denggi dicatatkan di negeri ini bermula 1 Januari sehingga 1 Jun lalu, daripada 1,059 kes yang direkodkan bagi tempoh terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata bagi tempoh sama pada tahun lalu, tiada kes kematian direkodkan.

Bagi jumlah kes denggi, katanya, berlalu peningkatan sebanyak 106 peratus daripada 513 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.

“Taburan kumulatif kes denggi di negeri ini pada 2019 sebanyak 859 kes di Seremban, Tampin (59), Port Dickson (49), Jempol (35), Rembau (20), Jelebu (19) dan Kuala Pilah (18),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Veerapan berkata, sehingga 1 Jun lalu sebanyak 14 lokaliti wabak dikesan masih aktif di daerah ini, manakala satu di Port Dickson.

Katanya, bilangan kes kumulatif yang tinggi menyebabkan aktiviti pencegahan dan kawalan dipergiatkan bagi mengesan dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes.

“Selain itu, turut dilaksanakan semburan asap, Ops Gempur Aedes, promosi kesihatan dan gotong royong membabitkan masyarakat,” katanya.

Berita Harian X