Isnin, 3 Jun 2019 | 6:14pm
CHARLES Santiago (empat dari kanan) bersama pegawai Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) meninjau lokasi kejadian paip utama bersaiz 1,800 millimeter pecah di Setia Alam, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
CHARLES Santiago (empat dari kanan) bersama pegawai Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) meninjau lokasi kejadian paip utama bersaiz 1,800 millimeter pecah di Setia Alam, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Paip pecah di Setia Alam, 155,000 akaun terjejas

SHAH ALAM: Bekalan air kepada 155,000 akaun pengguna di Klang dan Kuala Langat terjejas selepas paip utama bersaiz 1,800 millimeter (mm) pecah di Setia Alam, pada jam 8 pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, berkata paip utama itu membekalkan air kepada 84 taman perumahan di Klang serta sembilan di Kuala Langat dan ia membabitkan kawasan yang besar.

“Pengguna pasti akan marah dan risau, tambahan pula Aidilfitri akan disambut dalam tempoh dua hari lagi. Justeru, Air Selangor akan bekerja keras dalam tempoh 24 jam ini untuk memastikan bekalan air segera pulih.

“Punca sebenar kejadian paip pecah dan berapa lama tempoh yang diperlukan sehingga bekalan air kembali pulih hanya akan diketahui pada jam 6 petang ini.

“Ketika ini, pihak Air Selangor sedang melakukan kerja-kerja ‘dewatering’ (pengeringan air) dengan mengorek tanah menggunakan dua jengkaut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi paip pecah di Setia Alam di sini, petang ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Klang, berkata kehadirannya ke lokasi turut bertujuan memberi tekanan kepada Air Selangor supaya masalah berkenaan segera diselesaikan.

Charles berkata ia adalah kali kedua kejadian paip pecah berlaku di Klang dalam tempoh yang singkat.

Katanya, beliau bimbang jika kejadian berkenaan turut menyebabkan masalah lain seperti penduduk tidak lagi selesa tinggal di Klang dan seterusnya mendorong kepada kejatuhan harga rumah serta lain-lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman, berkata bekalan air dalam sistem masih ada dan boleh bertahan sehingga 12 jam bergantung kepada penggunaan.

“Justeru, kami ingin menasihatkan pengguna supaya menggunakan air secara berhemah kerana kami masih tidak pasti berapa lama kerja pembaikan akan dilakukan dan bila bekalan air kembali pulih.

“Kami juga berharap ia dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam dan pengguna tidak mengalami masalah bekalan air terputus untuk tempoh yang lama,” katanya.

Antara kawasan yang terjejas akibat paip pecah adalah Ambang Botanik, Ambang Putera, Bandar Bestari, Bandar Botanik, Bandar Bukit Tinggi 1 dan 2, Bandar Klang dari Batu 1 hingga Batu 3 Jalan Meru, Bandar Parkland, Bandar Putera 2, Bandar Puteri, Glenmarie Cove, Terminal Glenn Cruise, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Jalan Dato Hamzah, Jalan Istana, Jalan Kapar dari Batu 1 hingga Batu 5, Jalan Klang-Banting, Jalan Kota, Jalan Kota Raja, Jalan Padang, Jalan Pelabuhan Utara, Jalan Raja Lumu, Jalan Raya Barat, Jalan Raya Timur, Jalan Stesen serta Solok Besar, Jalan Tengku Basar, Jalan Tengku Diauddin dan Jalan Tengku Kelana.

Jalan Kem, Jalan Limbungan, Jalan Syahbandar, Johan Setia, Kampung Kastam, Kampung Pulau Indah, Kampung Raja Uda, Kampung Teluk Gong, keseluruhan Taman Berkeley dan Eng Ann, keseluruhan Jalan Raja Nong, keseluruhan Taman Sri Andalas, Kampung Keretapi, Kampung Pendamar, Kota Pendamar, Laguna Park, Lorong Tingkat & Rembau, Pandamaran, Pangsapuri Sri Perantau, Pelabuhan Utara, Kawasan Perindustrian Pulau Indah Fasa 1 dan 2, Persiaran Raja Muda Musa, kawasan perubahan di Bandar Sultan Sulaiman Fasa 1, 2 dan 3, Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Ketam dan seluruh Batu Belah dan Teluk Kapas.

Keseluruhan kawasan perindustrian Bandar Sultan Sulaiman dan Taman Perindustrian Perdana, seluruh kawasan perindustrian Bukit Raja Selatan, seluruh Perepat, seluruh Sementa, seluruh Sungai Putus, sepanjang jalan Goh Hock Huat, Sungai Sireh, Taman Bayu Mas, Taman Bayu Perdana, Taman Bayu Tinggi, Taman Berembang, Taman Bijaya Kampung Jawa, Taman Chi Liung, Taman Desawan, Taman Gembira, Taman Klang Jaya, Taman Klang Groove, Taman Pendamar Indah, Taman Samjdera, Taman Selatan, Taman Sentosa, Taman Suria Pendamar, Telok Gedong Kecil, Telok Gedong Indah, Taman Petaling Indah, Taman Radzi Telok Gedong Besar, West Port dan Wisma Polis Marin Pulau Indah.

Di Kuala Langat, kawasan terjejas adalah di Batu 7 Sijangkang.

Berita Harian X