Rabu, 29 Mei 2019 | 2:09pm
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan. NSTP/Adzlan Sidek
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan. NSTP/Adzlan Sidek

Dua kilang punca pencemaran udara diarah tutup

SEREMBAN: Dua kilang di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut, di sini, dikenakan tindakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan selepas didapati menyebabkan pencemaran udara di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata tindakan itu berikutan aduan penduduk Senawang Perdana yang tidak berpuashati terhadap bau busuk dipercayai berpunca daripada aktiviti kilang di kawasan perindustrian berhampiran.

Katanya, selepas menjalankan siasatan pada 16 April dan 3 Mei lalu, JAS negeri mengesan aktiviti pembakaran daripada sebuah kilang perabot dan kilang memproses plastik terpakai dikenal pasti punca utama bau busuk di taman berkenaan.

“Pemeriksaan pertama dijalankan di sebuah kedai perabot dan JAS mendapati kilang itu melakukan aktiviti pembakaran serta penghasilan cecair gam.

“Aktiviti itu menyebabkan pelepasan bau pelarut dan kimia ke kawasan perumahan berhampiran. JAS seterusnya menyita kelengkapan di premis terbabit mengikut Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Veerapan berkata, pemeriksaan kedua pula dijalankan terhadap sebuah kilang memproses plastik terpakai berlesen.

“Premis ini mempunyai alat kawalan udara bagi semua mesin digunakan, tetapi JAS mendapati kilang itu memproses sejenis plastik keras dan mengeluarkan bau yang kuat.

“Keupayaan sistem kawalan udara juga didapati tidak mencukupi. Justeru JAS mengarahkan kilang itu menghentikan operasi untuk beberapa hari dan meningkatkan lagi keupayaan alat kawalan udara sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, JAS kini dalam proses permohonan perintah larangan mengikut Peraturan 24, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Sementara itu, JAS negeri turut mengesyorkan industri kitar semula plastik dipantau dan pemasangan kelengkapan kawalan bersesuaian perlu ditingkatkan bagi memastikan bau busuk dapat diatasi.

Berita Harian X