Selasa, 28 Mei 2019 | 4:13pm

Melaka harap tiada catuan air menjelang Aidilfitri

MELAKA: Kerajaan Melaka berharap tiada catuan bekalan air dibuat dalam waktu terdekat terutama menjelang persiapan bagi menyambut Aidilfitri berikutan penyusutan paras air di tiga empangan di negeri ini.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata paras air di Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan, masing-masing terus mencatatkan penyusutan, sekali gus dibimbangi berlaku krisis bekalan air sekiranya tiada pelan alternatif dibuat.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat negeri ini supaya terus berjimat dalam penggunaan air, selain melaporkan segera sekiranya terdapat laporan paip pecah bagi mengelakkan pembaziran air.

“Kita dapati usaha melakukan operasi pembenihan awan, baru-baru ini yang bertujuan bagi meningkatkan paras air di Empangan Durian Tunggal, kurang berjaya.

“Sehubungan itu, kita memohon seluruh masjid di negeri ini supaya mengadakan solat sunat Istisqa (meminta hujan) untuk memohon kepada Allah SWT menurunkan hujan. Ia sekali gus dapat meningkatkan paras air di semua empangan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

NSTP pada 16 Mei lalu melaporkan, kerajaan negeri melakukan operasi pembenihan awan jenis kering menerusi semburan ‘hygroscopic flare’ di sempadan Johor ke Durian Tunggal menggunakan pesawat Cessna 340A.

Operasi itu dibuat berikutan paras takungan di Empangan Durian Tunggal yang membekalkan air kepada pengguna di daerah Melaka Tengah, kini kritikal.

Mengulas mengenai solat sunat Istisqa, Mohd Sofi yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata arahan sudah dikeluaekan di seluruh masjid di negeri ini untuk mendirikan solat sunat Istisqa pada 31 Mei ini.

“Kita berdoa supaya keadaan menjadi pulih seperti sedia kala. Pihak masjid, surau dan masyarakat Islam juga digalakkan untuk mengadakan solat sunat hajat dan qunut nazilah atau bacaan doa bagi diturunkan hujan di negeri Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sofi berkata, paras terkini Empangan Durian Tunggal mencatatkan 40.2 peratus atau 12,420 juta liter air; Empangan Jus dengan 67 peratus (28,975 juta liter air) dan Empangan Asahan dengan 62.5 peratus (155 juta liter air).

Berita Harian X