Selasa, 28 Mei 2019 | 12:41pm
Badak sumbu Sumatera jantan di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu. - Foto Roy Goh
Badak sumbu Sumatera jantan di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu. - Foto Roy Goh

Malaysia, Indonesia perlu terus kerjasama pulihara badak

KOTA KINABALU: Sabah berharap Indonesia terus memberi kerjasama dalam pelaksanaan program pemuliharaan dan pembiakan badak sumbu bagi menyelamatkan hidupan liar berkenaan yang kini diancam kepupusan serius.

Berikutan kematian badak sumbu dewasa dikenali sebagai Tam baru-baru ini, Iman kini adalah satu-satunya badak sumbu Sumatera betina yang masih wujud di negara ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, berkata keadaan kesihatan badak berkenaan berusia 25 tahun itu juga agak membimbangkan kerana dikenal pasti memiliki masalah ketumbuhan dalam rahim.

“Iman berumur 25 tahun, namun malangnya ia memiliki ketumbuhan dalam rahim yang agak besar ketika ditangkap pada 2014 untuk proses pemuliharaan. Biarpun ada ketumbuhan dalam rahimnya, Iman masih menghasilkan telur yang dapat dituai.

“Pakar Institut Penyelidikan Zoo dan Hidupan Liar Leibniz di Jerman akan membantu dalam penuaian telur. Ia boleh disenyawakan di makmal secara in vitro dengan sperma daripada badak jantan Indonesia. Embrio dihasilkan daripada proses ini kemudiannya ditanam kepada badak sumbu betina Indonesia,” katanya menerusi kenyataannya, di sini hari ini.

Semalam, Tam yang juga badak sumbu Sumatera jantan terakhir di negara ini mati pada usianya 35 tahun di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, satu lawatan ke Indonesia akan dibuat pada Julai ini bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama daripada negara itu dalam usaha menyelamatkan badak sumbu Sumatera yang ada di negeri ini.

Christina berkata, kerajaan negeri akan meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Indonesia dalam usaha itu.

Sejak 2011, pelbagai usaha dilakukan bagi menyelamatkan spesis badak berkenaan dari ancaman kepupusan, dengan tumpuan kepada teknologi pembiakan terkini, termasuk secara ‘in vitro’ dan kerjasama dengan Indonesia.

Diminta mengulas lanjut mengenai kerjasama itu, Christina berkata, baka badak sumbu itu akan dikongsi bersama dengan Indonesia dan akan tetap berada di Santuari Way Kambas Rhino, Lampung di Sumatera.

“Bagaimanapun, ini hanya boleh berlaku jika kerajaan Indonesia bersetuju secara rasmi,” katanya.

Berita Harian X