Ahad, 26 Mei 2019 | 7:51am
AHLI kariah Masjid An-Nur sepakat mengacau dodol.
AHLI kariah Masjid An-Nur sepakat mengacau dodol.
HARUN (tengah) bersama Imam Satu Masjid An-Nur, Mohd Isyamfuan Rojalai (kanan) dan Imam Dua, Mohd Radzi Mohd Zin mengacau dodol.
HARUN (tengah) bersama Imam Satu Masjid An-Nur, Mohd Isyamfuan Rojalai (kanan) dan Imam Dua, Mohd Radzi Mohd Zin mengacau dodol.
TADARUS al-Quran diadakan sebelum bermula Qiamullail Ramadan.
TADARUS al-Quran diadakan sebelum bermula Qiamullail Ramadan.

Penduduk SUTRA 1 mengacau dodol dengan kasih sayang

SUNGAI BULOH: Lebih 50 ahli kariah Masjid An-Nur, Saujana Utama, di sini, memasak empat kawah dodol menerusi program kacau dodol muafakat di pekarangan masjid itu, malam tadi.

Program julung kali anjuran Persatuan Penduduk Saujana Utama Fasa Satu Seri Pagi (SUTRA 1) itu bermula sebaik selesai tarawih jam 10.30 malam dan siap dimasak serta dibungkus jam 4.30 pagi ini.

Pengerusi SUTRA 1, Wan Ismail Hashim, berkata program itu dirancang untuk dilaksanakan bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk di taman perumahan itu.

Katanya, ini kerana ia secara tidak langsung dapat memupuk semangat kerjasama, saling bantu membantu dan memberi pengalaman baharu bagi mereka yang tidak pernah mengacau dodol.

“Kami mengacau dodol dengan semangat kerjasama yang baik dan kasih sayang kerana memasak dodol mengambil masa yang lama.

“Terima kasih kepada penduduk yang menyumbang tenaga dan penaja termasuk pihak pengurusan Masjid An-Nur kerana membantu menjayakan program ini,” katanya ketika ditemui pagi ini.

Hadir sama, Nazir Masjid An-Nur, Harun Abdul Rahman dan Pengerusi Majlis Permuafakatan Penduduk Zon 8 Saujana Utama, Khairul Annuar Jalaluddin.

Kira-kira 350 bekas dodol akan diedarkan kepada penduduk Seri Pagi secara percuma, pagi ini.

Program Qiamullail turut diadakan di masjid berkenaan pada awal pagi tadi.

Wan Ismail berkata, makanan tradisional itu bukan sahaja diminati oleh orang Melayu, namun turut dikongsi oleh masyarakat Cina, India dan kaum lain, sekali gus boleh mengeratkan lagi hubungan pelbagai kaum di Saujana Utama.

Katanya, menyedari manfaat yang diperoleh, pihak persatuan bercadang menjadikan program mengacau dodol sebagai acara tahunan.

Berita Harian X