Rabu, 22 Mei 2019 | 1:45pm
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew (duduk, lima dari kanan) ketika hadir di Majlis Berbuka Puasa Bersama Jabatan dan Agensi di bawah Kementeriannya di Kota Kinabalu. - Foto ihsan KEPKAS.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew (duduk, lima dari kanan) ketika hadir di Majlis Berbuka Puasa Bersama Jabatan dan Agensi di bawah Kementeriannya di Kota Kinabalu. - Foto ihsan KEPKAS.

Sabah, Indonesia teruskan kerjasama pulihara badak sumbu

KOTA KINABALU: Sabah dan Indonesia terus bekerjasama dalam usaha pemuliharaan badak sumbu Sumatra yang kini semakin diancam kepupusan di negeri ini.

Justeru, satu lawatan rasmi akan diadakan ke Indonesia, selewat-lewatnya pada Julai ini, bagi membincangkan mekanisme bersesuaian bagi tujuan pemuliharaan itu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, berkata beliau sendiri akan mengetuai lawatan berkenaan yang turut disertai Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga.

“Kerajaan Sabah mahu terus bekerjasama dengan Kerajaan Indonesia dalam melaksanakan usaha menyelamatkan badak sumbu Sumatra daripada pupus di negara ini.

“Ini kerana kita menyedari dan berasa bimbang tahap kesihatan spesis terakhir badak sumbu Sumatra jantan di Sabah yang dinamakan Tam kini agak kurang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, di sini semalam.

Christina yang bertanggungjawab terhadap portfolio pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar negeri, berkata perbincangan itu nanti tidak hanya bertumpu kepada agenda pemuliharaan badak sumbu, malah pelbagai spesis hidupan liar lain.

Kenyataan beliau sebagai mengulas mengenai kerjasama dengan Indonesia susulan keadaan kesihatan Tam yang semakin merosot sejak April.

Ahad lalu, badak Sumatra yang dinamakan Tam yang kini dianggarkan berumur lebih 35 tahun hilang selera makan dan kurang bertindak balas sejak April lalu.

Tam ditangkap di ladang Kretam, sebuah kawasan kelapa sawit di Lahad Datu pada Ogos 2008, sebelum hidupan liar yang diancam kepupusan itu kemudian dibawa ke Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu yang menjadi habitatnya sehingga sekarang.

Sejak 2011, pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi menyelamatkan badak sumbu Sumatra daripada kepupusan dengan tumpuan kepada teknologi pembiakan terkini termasuk secara in vitro dan kerjasama dengan Indonesia.

Christina ketika mengulas lanjut turut berharap perbincangan dengan Indonesia itu nanti akan membuahkan hasil.

“Keadaan Tam semakin merosot dan pemantauan perlu dilakukan setiap hari. Jabatan Hidupan Liar Sabah juga melaporkan perkembangan terkini Tam kepada saya pada setiap hari,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan berusaha untuk mendapatkan pasangan untuk Tam agar hidupan liar itu dapat melahirkan anak.

Usaha untuk mencari pasangannya lenyap apabila Puntung yang ditangkap pada tahun 2011 didapati menghidap ketumbuhan dalam rahim dan apabila Iman yang ditangkap pada tahun 2014 pula didapati berdepan masalah sama.

Puntung kemudian dimatikan pada tahun 2017 kerana kanser dan kesakitan yang dialaminya, meninggalkan hanya Iman satu-satunya badak sumbu betina yang masih hidup.

Berita Harian X