Ahad, 19 Mei 2019 | 10:47am
KEADAAN rumah usang yang didiami keluarga Siti Katieh. - NSTP/Norasikin Daineh
KEADAAN rumah usang yang didiami keluarga Siti Katieh. - NSTP/Norasikin Daineh

Suami hidap slipped disc sukar bekerja untuk sara keluarga

BEAUFORT: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itu yang dapat digambarkan kehidupan Mohd Hamirkhan, 38, yang mengalami masalah sakit tulang belakang (slipped disc) akibat kemalangan di tempat kerja 10 tahun lalu dan akhirnya dibuang kerja selepas sering bercuti sakit.

Akibat sakit yang dialaminya, Mohd kini tidak boleh melakukan kerja berat malah sering sakit sehingga terlantar beberapa hari di rumah menyebabkan dia tidak dapat bekerja tetap dan keluarganya terpaksa diuruskan isterinya, Siti Katieh Moht Sait, 37.

Menurut Siti Katieh, kehidupan mereka diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, selepas suaminya dibuang kerja beberapa tahun lalu.

“Suami ditimpa kemalangan jatuh dari tempat tinggi ketika sedang mencuci tangki di sebuah loji air selain sering mengangkat barang berat menyebabkan dia mengalami slipped disc.

“Sejak itu, suami terpaksa mendapatkan rawatan di hospital termasuk melakukan pembedahan hempedu berbatu kesan daripada slipped disc yang dihadapinya sehingga dia dibuang kerja kerana kerap mengambil cuti sakit,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Bingkul, di sini, baru-baru ini.

Siti Katieh yang juga seorang suri rumah berkata, sebelum ini dia juga turut bekerja di sebuah kedai perabot namun terpaksa berhenti kerana tiada yang dapat mengurus empat anak dan suaminya terlantar sakit.

“Suami saya tidak boleh bekerja berat dan ada masa dia tidak boleh bangun selama berhari-hari kesan daripada slipped disc.

“Disebabkan kami berdua tidak dapat bekerja tetap, saya hanya menjalankan perniagaan atas talian di rumah untuk menyara keluarga termasuk perbelanjaan dua anak yang kini bersekolah di sekolah menengah,” katanya.

Katanya, disebabkan mereka tidak mampu dan memerlukan wang yang banyak untuk rawatan suaminya, mereka terpaksa menumpang tinggal di sebuah rumah yang pernah dijadikan kedai yang bukan saja usang tetapi atapnya juga bocor.

“Kalau hujan lebat, ada kebocoran pada atap dan air hujan terpaksa disambut menggunakan besen atau baldi.

“Kalau suami sihat, dia akan cuba baiki bahagian atap yang bocor supaya kami sekeluarga dapat tinggal di rumah dengan selesa,” katanya.

Katanya, walaupun begitu dia dan suami kini dalam usaha untuk memperbaiki kehidupan mereka dengan memulakan perniagaan menjual ikan selepas berjaya mendapatkan pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) baru-baru ini.

“Sempena Ramadan ini, kami mencuba nasib dengan berniaga ikan selepas mendapat pinjaman daripada AIM untuk memulakan perniagaan.

“Saya harap dengan cara ini, saya dan suami dapat perbaiki kehidupan kami sekeluarga terutamanya menampung anak yang masih kecil dan bersekolah serta cuba mencari wang untuk mendapatkan mesin khas bagi penyakit suami hadapi,” katanya.

Berita Harian X