Khamis, 16 Mei 2019 | 3:53pm
EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab menunjukkan kawasan cadangan pembenihan awan pada sidang media berkenaan paras air di Empangan Durian Tunggal kini berada di tahap kritikal dengan bacaan 39.9 peratus. - Foto Khairunisah Lokman
EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab menunjukkan kawasan cadangan pembenihan awan pada sidang media berkenaan paras air di Empangan Durian Tunggal kini berada di tahap kritikal dengan bacaan 39.9 peratus. - Foto Khairunisah Lokman

Empangan makin kering, Melaka buat pembenihan awan

MELAKA: Selepas dua minggu tidak menerima hujan, kerajaan Melaka hari ini melakukan operasi pembenihan awan ketika Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah, menghampiri paras kritikal.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata operasi pembenihan awan jenis kering menerusi semburan ‘hygroscopic flare’ itu dibuat menggunakan pesawat Cessna 340A, tengah hari tadi.

Katanya, operasi bermula di sempadan Johor ke Durian Tunggal itu dibuat berikutan paras takungan di Empangan Durian Tunggal yang membekalkan air kepada pengguna di daerah Melaka Tengah, kini kritikal.

Berdasarkan analisis model cuaca minggu lalu, katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati keadaan cuaca yang sesuai (bagi melakukan pembenihan awan) adalah pada 13 Mei lalu hingga hari ini.

“Pembentukan awan hujan pada 17 hingga 23 Mei tidak sesuai, berikutan angin barat daya kuat dan sistem tekanan tinggi di Semenanjung,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, di sini hari ini.

Mohd Sofi berkata, operasi itu akan dijalankan selama tiga hari bergantung kepada faktor atmosfera, manakala kos operasi pesawat ditanggung kerajaan negeri dan kos semburan pula ditanggung MetMalaysia yang turut menyediakan khidmat kepakaran teknikal.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah kos ditanggung kerajaan negeri bagi melaksanakan operasi berkenaan.

Mohd Sofi meminta penduduk negeri ini menggunakan air secara efisien dan melaporkan segera kepada pihak bertanggungjawab sekiranya berlaku kebocoran bagi mengelak pembaziran.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan negeri tidak merancang melakukan catuan air setakat ini kerana empangan masih menerima air dari Sungai Johor.

Setakat jam 10 pagi tadi, laman Facebook Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka menunjukkan paras air di Empangan Durian Tunggal pada 39.9 peratus, Empangan Jus (67 peratus) dan Empangan Asahan (62.5 peratus).

Berita Harian X