Khamis, 9 Mei 2019 | 8:13am
ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) melakukan pemeriksaan terhadap bot pelancong dalam Ops Gelora di sekitar perairan Kota Belud. - Foto ihsan PPM
ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) melakukan pemeriksaan terhadap bot pelancong dalam Ops Gelora di sekitar perairan Kota Belud. - Foto ihsan PPM

Sembilan pengusaha bot pelancong dikompaun

KOTA KINABALU: Sembilan pengusaha bot pelancong di Kota Belud dikompaun atas pelbagai kesalahan dalam Ops Gelora yang dilaksanakan Pasukan Polis Marin (PPM) di sekitar perairan Kota Belud, semalam.

Dalam operasi jam 10 pagi itu, antara kesalahan yang dikesan termasuklah membawa penumpang melebihi muatan, alat pemadam api tamat tempoh dan gagal memaklumkan pertukaran juragan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota PPM Kota Kinabalu melaksanakan satu operasi dengan menggunakan bot ronda RH29.

“Pemeriksaan dibuat terhadap beberapa bot pelancong yang beroperasi di sekitar perairan Sungai Rampayan Laut hingga perairan Pulau Mantanani.

“Hasil pemeriksaan mendapati sembilan bot pelancong memiliki alat pemadam api yang telah tamat tempoh, membawa penumpang melebihi muatan dan gagal memaklumkan pertukaran juragan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, Mohamad Pajeri berkata, lesen pengusaha bot pelancong terbabit ditahan dan dirujuk kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) untuk dikompaun.

“Keseluruhan kompaun bagi sembilan bot itu berjumlah RM900 mengikut kesalahan di bawah Seksyen 8 (2) Peraturan-Peraturan JPDS 2008,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, pengusaha bot pelancong di negeri ini diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan di perairan supaya tidak menjejaskan industri pelancongan di Sabah.

“Ini bagi memastikan pelancong dalam dan luar negara yakin terhadap tahap keselamatan mereka ketika melakukan aktiviti riadah bersama keluarga,” katanya.

Katanya lagi, operasi sepanjang Ramadan juga diteruskan di kawasan perairan Sabah dalam konteks ‘Maritime Laws Enforcement’ dan ‘Maritime Security’.

Berita Harian X