Rabu, 8 Mei 2019 | 9:37am
Peniaga kedai makan, Nur Manto Muhammad, 48, membersihkan gerainyai ketika menutup sementara sebagai mematuhi arahan kerajaan negeri supaya menutup sementara operasi kedai makan pada jam 8.30 malam hingga jam 10 malam sepanjang bulan ramadan ketika ditemui dipremisnya di Kampung Sireh, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
Peniaga kedai makan, Nur Manto Muhammad, 48, membersihkan gerainyai ketika menutup sementara sebagai mematuhi arahan kerajaan negeri supaya menutup sementara operasi kedai makan pada jam 8.30 malam hingga jam 10 malam sepanjang bulan ramadan ketika ditemui dipremisnya di Kampung Sireh, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

Arahan tutup kedai: Industri pelancongan Kelantan mungkin terkesan

KOTA BHARU: Arahan penutupan kedai makan atau restoran bermula jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang Ramadan mungkin memberi kesan terhadap industri pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman, berkata bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada kesan negatif atau positif kerana tindakan itu adalah kali pertama dilaksanakan.

“Wallahualam..sebab ini (arahan penutupan) kali pertama (dijalankan), mungkin ada (kesan) positif dan negatif.

“Perkara di sebaliknya itu, akan ada perkara akan diulas oleh pihak yang terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis Souq Ramadan anjuran Hotel Perdana, di sini malam tadi.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud dan Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman. - Foto Zaman Huri Isa
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman. - Foto Zaman Huri Isa

Md Anizam berkata, dari segi pendapat peribadinya, seeloknya orang ramai merebut peluang mengerjakan ibadat solat Tarawih kerana pahalanya berlipat kali ganda.

“Sepanjang di bulan Ramadan ni, mungkin satu pahala kita dapat 10, dapat 70 kali..rebut lah peluang di bulan puasa.

“Dari aspek lain, akan diulas oleh pihak Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, program tahunan Madinah Ramadan masih lagi menjadi tarikan untuk datang ke negeri ini bagi memeriahkan Ramadan.

“Bukan sahaja masyarakat tempatan, Madinah Ramadan turut menarik pelancong luar untuk datang sama-sama berbuka puasa, bertarawih dan merasai suasana berpuasa di sini.

“Kerjasama dengan pihak hotel juga memang ada bagi menguruskan kelancaran kehadiran pelancong sama ada dalam dan luar negara sempena program ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Jualan dan Pemasaran Hotel Perdana, Nik Adura Zuliana Nik Rashid, berkata Souq Ramadan yang berkonsepkan bazar itu sudah memasuki tahun kedua penganjurannya.

“Lebih 150 sajian dari seluruh negeri termasuk menu Arab, Indonesia serta Thailand disediakan oleh barisan chef yang diketuai Chef Eksekutif, Ibrahim Abu Lasi secara bergilir untuk enam hari pusingan.

“Menu wajib yang disediakan adalah kambing panggang yang sesuai dimakan bersama Nasi Arab yang menggunakan kaedah stim,” katanya.

Berita Harian X