Ahad, 21 April 2019 | 4:58pm
ANGGOTA Tentera Darat Australia beramah mesra dengan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pengkalan Chepa pada Program Jiwa Murni yang turut membabitkan kerjasama Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan pihak sekolah berkenaan. - Foto Rohana Idris
ANGGOTA Tentera Darat Australia beramah mesra dengan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pengkalan Chepa pada Program Jiwa Murni yang turut membabitkan kerjasama Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan pihak sekolah berkenaan. - Foto Rohana Idris

Tentera Malaysia, Australia bekerjasama gotong-royong di sekolah

KOTA BHARU: Seramai 118 anggota Tentera Darat Australia bergotong-royong membersihkan persekitaran Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pengkalan Chepa, di sini, semalam, selain membina sebuah gazebo yang akan dijadikan pondok bacaan murid.

Pegawai Memerintah 30th Rifle Company Butterworth (RCB), Leftenan Kolonel Paul Michael Sanderson, berkata inisiatif itu diadakan sempena Program Jiwa Murni yang turut membabitkan kerjasama Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan pihak sekolah berkenaan.

Beliau berkata, ia sebahagian daripada pengisian Program Eksesais Haringgaroo yang mereka perlu jalani sepanjang dua minggu berada di negeri ini.

“Aktiviti turun padang ini termasuk gotong-royong membersih dan menceriakan persekitaran sekolah, membina sebuah gazebo serta sedikit sumbangan buku,” katanya ketika ditemui.

Yang turut hadir, Pegawai Memerintah Batalion Ke-21 RAMD Kem Pengkalan Chepa, Leftenan Kolonel Mohd Farid Mohd Yusop yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kem Pengkalan Chepa.

Sementara itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Saari Jusoh, berkata sumbangan sebanyak 3,500 naskhah bahan bacaan dan buku akademik itu memberi manfaat kepada murid, terutama calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Gazebo yang dibina akan dijadikan pondok bacaan murid. Saya mewakili pihak sekolah amat berbesar hati dengan segala sumbangan yang diberikan,” katanya.

Berita Harian X