Ahad, 21 April 2019 | 10:50am
PESERTA tunggal, Hamsiah begitu teruja menunjukkan kebolehan ayam jantan peliharanya untuk bertanding merebut gelaran juara pada pertandingan Ayam Sorak di Karnival Ayam Sorak Negeri Kelantan di Taman Orkid, Pengkalan Chepa. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
PESERTA tunggal, Hamsiah begitu teruja menunjukkan kebolehan ayam jantan peliharanya untuk bertanding merebut gelaran juara pada pertandingan Ayam Sorak di Karnival Ayam Sorak Negeri Kelantan di Taman Orkid, Pengkalan Chepa. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Guru wanita hobi sertai pertandingan ayam

KOTA BHARU: Seorang guru wanita tidak kekok menyertai pertandingan ayam yang lebih sinonim sebagai hobi lelaki, malah sanggup menghabiskan ratusan ringgit setiap bulan untuk menyediakan keperluan makanan haiwan peliharaannya itu.

Hamsiah Abidin, 47, turut mencuri tumpuan ramai apabila menjadi peserta wanita tunggal pada Karnival Ayam Sorak Kelantan yang berlangsung di Taman Orkid, Pengkalan Chepa, semalam.

Pada pertandingan itu, beliau yang juga guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Senak, Bachok, menampilkan empat daripada lebih 20 ekor ayam jantan peliharaannya untuk bersaing merebut gelaran juara.

Skuad bawah 18 tahun (B-18). - Foto FAM
Skuad bawah 18 tahun (B-18). - Foto FAM

Ibu kepada empat anak itu berkata, beliau tidak pernah menghiraukan ‘suara sumbang’ yang mempertikaikan minatnya menyertai pertandingan ayam kerana aktiviti berkenaan bukan suatu kesalahan.

Sebaliknya, Hamsiah berkata, hobi itu bukan sahaja dapat membantu menghilangkan tekanan tetapi juga mengeratkan lagi hubungan beliau dengan suami dan anak.

“Minat sama turut dikongsi suami, Zurizam Ibrahim, 52, dan anak sulung, Muhammad Firdaus Afzal , 26. Malah, kami anak-beranak dapat meluangkan lebih banyak masa bersama melalui aktiviti ini.

“Boleh dikatakan setiap petang selepas balik daripada mengajar di sekolah, saya akan menghadiri pertandingan ayam berkokok di merata tempat yang diadakan secara kecil-kecilan.

“Setiap bulan, saya menghabiskan ratusan ringgit menyediakan keperluan makanan, termasuk minyak ikan dan vitamin bagi memastikan semua ayam sihat untuk dibawa bertanding,” katanya ketika ditemui pada karnival itu.

Hampir 1,000 ayam jantan ditampilkan pada pertandingan itu yang turut dimeriahkan peserta dari Terengganu, Negeri Sembilan, Perak dan Johor.

Haiwan terbabit dinilai dari segi berkokok paling banyak dalam tempoh ditetapkan dengan ayam yang membuat sekurang-kurang 35 kokokan dalam tempoh 15 minit atau diistilahkan berjaya mendapat ‘cing’ akan ke peringkat seterusnya.

Menceritakan lanjut, Hamsiah berkata, dua ayamnya menjadi antara 43 yang mara ke pusingan akhir pertandingan itu.

“Menang atau kalah, adat bertanding. Namun yang penting ialah kemeriahan dan kepuasan dapat menyertai pertandingan ayam berkokok,” katanya.

Berita Harian X