Sabtu, 13 April 2019 | 4:49pm
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (kanan). - NSTP/Edmund Samunting
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (kanan). - NSTP/Edmund Samunting

Festival Kraf Tekstil Borneo sasar jualan lebih RM500,000

KOTA KINABALU: Festival Kraf Tekstil Borneo 2019 yang bermula semalam hingga 21 April ini di Kompleks Suria Sabah, di sini, dijangka meraih sasaran jualan lebih RM500,000.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata festival membabitkan 87 usahawan kraf dari Sabah dan Sarawak itu turut menyasarkan lebih 20,000 pengunjung, dengan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Kraf tangan yang dijual memiliki keunikan dan kekayaan hasil seni kraf berkualiti tinggi, termasuk tekstil daripada kedua-dua negeri,” katanya pada sidang media di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, di sini, hari ini.

Seterusnya, Mohamaddin berkata, sebuah institusi kraf tangan negeri wajar diwujudkan di Sabah bagi mempertingkat kemahiran dalam bidang itu.

“Walaupun sudah ada pusat kraf tangan yang dikendalikan Yayasan Sabah, saya terfikir untuk mewujudkan sebuah institusi kraf tangan negeri bagi meningkatkan kemahiran menghasilkan kraf tangan, terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai sektor pelancongan di Lahad Datu, Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Silam berkata, masih banyak yang perlu dilakukan di daerah terbabit, khususnya berkaitan lapangan terbang kerana setakat ini, hanya pesawat jenis ATR boleh mendarat di situ.

“Oleh itu, antara perancangan saya ialah lapangan terbang baharu dibina agar pesawat besar boleh mendarat, sekali gus membawa lebih ramai pelancong ke Lahad Datu,” katanya.

Berhubung ‘blue ring reef’ atau lubang biru di perairan Silam pula, beliau berkata, ia akan menjadi satu lagi produk pelancongan marin yang baharu di daerah itu.

“Sebelum ini, tidak ramai yang tahu tetapi kini ia semakin dikenali, sekali gus menjadi antara tarikan baharu pelancongan di Lahad Datu.

“Selain itu, Lahad Datu memiliki beberapa lagi lokasi tarikan pelancong, termasuk Lembah Danum dan Taman Hidupan Liar Tabin,” katanya.

‘Blue ring reef’ atau lubang biru dilaporkan ditemui Glen Hapirulla, 56, yang juga pemilik tapak selam Pirate Divers pada 2017 di perairan Silam.

Berita Harian X