Jumaat, 5 April 2019 | 3:21pm

Kilang proses sawit dipantau

JOHOR BAHRU: Lebih 60 kilang memproses sawit di negeri ini kini dipantau dengan rapi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan operasinya tidak mencemari alam sekitar terutama sungai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal, berkata ada kilang sawit didapati membuang sisa ke sungai, menjadi punca pencemaran sehingga menyebabkan kualiti sumber bekalan air merosot sekali gus menjejaskan pengguna.

“Kita dapati banyak kilang sawit terletak berhampiran sungai dan kerajaan negeri akan memastikan pemilik mematuhi peraturan berkaitan pengurusan serta pembuangan sisa, terutama membabitkan pelepasan air ke dalam sungai.

“Sejak Januari lalu, kerajaan negeri menguatkuasakan piawaian lebih ketat berhubung sisa buangan atau kumbahan kilang kelapa sawit dan getah.

“Kilang terbabit dikehendaki mematuhi piawaian pelepasan sama ada ke alur air seperti sungai atau tanah yang lebih ketat iaitu Standard Pelepasan kepada Standard A.

“Jika tidak dipatuhi, kita akan ambil tindakan tegas termasuk menghentikan operasi dan menutup kilang terbabit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Ekspedisi Penyelidikan Hulu Sungai Chat di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim di sini, hari ini.

Program itu antara lain membabitkan kempen kesedaran termasuk pameran poster, pertandingan fotografi, perkhemahan dan penyelidikan di sungai sepanjang 15 kilometer berkenaan.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, kerajaan negeri memberi perhatian serius dalam menyelamatkan semua sungai di negeri ini, malah bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan merancang program yang berkesan untuk jangka pendek dan panjang.

“Kita akan meminta peruntukan yang sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan untuk memastikan usaha membersih dan menyelamatkan sungai di negeri ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

“Selain daripada bantuan kerajaan, masyarakat termasuk pemain industri perlu bersungguh-sungguh menjaga sungai kita dengan mengelakkan daripada melakukan pencemaran,” katanya.

PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal melawat ruang pameran peralatan alat pengesan gas di udara pada majlis perasmian program Ekspedisi Penyelidikan Hulu Sungai Chat di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal melawat ruang pameran peralatan alat pengesan gas di udara pada majlis perasmian program Ekspedisi Penyelidikan Hulu Sungai Chat di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X