Selasa, 2 April 2019 | 9:42pm
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari (kiri) menyerahkan banting hari guru kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pada program Gerakan Massa 'Terima Kasih Cikgu' sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak 2019 di pasaraya Aeon Mall Station 18. - Foto Balqis Jazimah Zahari
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari (kiri) menyerahkan banting hari guru kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pada program Gerakan Massa 'Terima Kasih Cikgu' sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak 2019 di pasaraya Aeon Mall Station 18. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Projek Mini Hidro Kampung Ulu Geruntum diteruskan

IPOH: Projek pembinaan Mini Hidro di Kampung Ulu Geruntum, Gopeng, yang digantung berikutan bantahan penduduk Orang Asli, akan diteruskan semula.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari, berkata ia kerana kerajaan negeri terikat dengan perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan terdahulu.

“Dari segi undang-undang kita tidak boleh dengan mudahnya menghapuskan atau memungkiri perjanjian yang sudah dibuat oleh pentadbiran terdahulu.

“Berkenaan penduduk, seperti yang saya katakan ketika melawat Ulu Geruntum dua minggu lalu, kami akan memastikan komuniti di sana tidak akan dipinggirkan.

“Saya akan berbincang dengan Penasihat Undang-Undang negeri untuk melihat sama ada apa-apa yang boleh dilakukan untuk memastikan semua aduan yang ditimbulkan oleh penduduk setempat itu boleh ditangani,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program Gerakan Massa ‘Terima Kasih Cikgu’ sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Perak 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Rosli Ahmad.

Abdul Aziz juga memberi jaminan kerajaan negeri tidak akan mengorbankan alam sekitar dan kebajikan masyarakat meskipun komited terhadap pembaharuan teknologi tenaga.

Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan projek pembinaan Mini Hidro di Kampung Ulu Geruntum, Gopeng yang sejak sekian lama mendapat tentangan masyarakat Orang Asli setempat, digantung berkuat kuasa serta merta.

Penggantungan projek itu dibuat selepas mendapat persetujuan bersama tujuh pihak terbabit dalam projek berkenaan termasuk masyarakat Orang Asli dan pemaju.

Berita Harian X